Thursday, March 21, 2013

KEMELUT DAP JOHOR MAKIN MEMUNCAK

JOHOR BAHRU: Kemelut DAP di Johor semakin memuncak apabila Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau, mencabar timbalannya, Ong Kow Meng, bertanding merebut jawatan disandangnya pada pemilihan parti akan datang.

Dr Boo berkata, Kow Meng boleh bertanding jika beliau layak untuk menjadi pengerusi menggantikannya, sekali gus memimpin parti dan ahli di peringkat negeri.

Namun, beliau menyifatkan timbalannya itu tidak layak menjadi pemimpin kerana gagal menghadiri sebarang mesyuarat serta majlis anjuran parti itu sejak dua tahun lalu.

“Saya kesal kerana menjadi subjek serangannya kerana sebagai pemimpin parti dan juga peguam, beliau seharusnya lebih tahu mengenai undang-undang dan prosedur parti.

“Memang mana-mana ahli mempunyai hak untuk bertanding jawatan pengerusi negeri, namun ia perlulah dilakukan dengan mengikut saluran ditetapkan. Saya ikhlas menyokong beliau untuk bertanding bagi merebut jawatan ini jika beliau rasa layak,” katanya dalam kenyataan bahasa Mandarin yang diedarkan kepada media berbahasa Cina di sini, semalam.

Dr Boo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, berkata beliau kesal dan sedih kerana ada ahli parti itu yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya hanya kerana ingin menjadi calon pilihan raya.

"Saya tidak pasti apa lagi tindakan beliau (Kow Meng), namun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau atas segala usaha yang dicurahkannya kepada parti selama ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kemelut antara Dr Boo dan timbalannya apabila Kow Meng secara terang-terangan bersama 16 cawangan parti itu mengemukakan undi tidak percaya terhadap ADUN Skudai terbabit. -BHarian

No comments:

Post a Comment