Showing posts with label kereta. Show all posts
Showing posts with label kereta. Show all posts

Saturday, November 16, 2013

KERETA LEBIH 12 TAHUN TIDAK SELAMAT – MIROS

MELAKA - Kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.

"Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12 tahun," katanya kepada pemberita selepas ujian perlanggaran kenderaan di Makmal Perlanggaran Penilaian Kereta Baharu Asean (Asean NCAP) di Tiang Dua di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah menyaksikan ujian perlanggaran sebuah kereta berusia 23 tahun pada kelajuan 64 kilometer per jam bagi melihat kesan momentum perlanggaran terhadap pemandu dan kenderaan itu.

Bagaimanapun katanya jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor seperti reka bentuk kereta, cara pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan.

Sebagai contoh, Dr Wong berkata, kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.

"Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian," katanya.

Beliau berkata, kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai digesa memberi perhatian terhadap jangka hayat kereta selain cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung ciri keselamatan kereta dan rating bintang bagi model kenderaan yang diuji di bawah Asean NCAP dalam laman sesawang www.aseancap.org bagi membantu mereka membeli kereta yang mempunyai ciri keselamatan tinggi. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

Monday, June 17, 2013

KERAJAAN BN TUNAI JANJI TURUNKAN HARGA KERETA BERPERINGKAT

ALOR SETAR: Inisiatif yang dibuat oleh Proton Holdings Bhd menawarkan pengurangan harga kereta kepada rakyat Malaysia membolehkan rakyat Malaysia merasai sendiri janji yang dibuat kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Proton telah menyahut baik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam manifesto PRU13 yang lalu.

"Proton telah menyahut seruan Perdana Menteri dengan menurunkan harga kereta Proton 1.3 sebanyak RM5,000 dan ini membolehkan rakyat Malaysia mampu untuk memiliki kereta.

"Bila harga kereta diturunkan, pengguna boleh melihat dan merasai sendiri janji-janji yang dibuat oleh pihak kerajaan pada PRU13 lalu. Janji Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia telah pun ditunaikan," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu, beliau berharap agar syarikat-syarikat kereta lain turut sama mengikut jejak Proton untuk menurunkan harga kereta demi kesenangan rakyat.

"Proton dah turunkan harga, jadi saya harap syarikat lain menjadikan Proton sebagai contoh dan akan tampil ke hadapan untuk mengurangkan harga kereta," katanya.

Ahmad Bashah berkata, harga kereta-kereta lain akan diturunkan secara berperingkat.

Pada 13 Jun yang lalu, Proton menawarkan kepada rakyat Malaysia satu varian kereta keluarannya yang akan dijual dengan harga lebih rendah dan mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia. – BERNAMA/mStar

Friday, June 14, 2013

PROTON KELUAR KERETA MAMPU MILIK

JAKARTA, INDONESIA: Proton Holdings Bhd akan melancarkan kereta mampu milik sejajar langkah kerajaan untuk mengurangkan harga kereta itu di negara ini.
 
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Khamil Jamil, berkata kereta itu yang akan dilancarkan esok adalah berasaskan kepada model sedia ada Proton, tetapi ditawarkan pada harga kira-kira 10 peratus lebih rendah.

Beliau menegaskan, walaupun ditawarkan pada harga lebih rendah, tetapi aspek kualitinya tetap dijaga, malah ditampilkan peningkatan dari aspek ciri-ciri keselamatan.

"Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut. Tunggu pelancarannya Sabtu ini (esok)," katanya kepada media pada pelancaran PROTON Preve di pasaran Indonesia, semalam.

Tingkat daya saing vendor

Kerajaan menerusi semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) sedang menggariskan pelan hala tuju bagi mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus menjelang 2017.

Ia adalah sebahagian daripada langkah berterusan yang dilaksanakan sebelum ini untuk mengurangkan beban membayar hutang bagi pembelian kereta yang dianggap antara beban kewangan utama yang ditanggung oleh rakyat.

Antara elemen penting yang diambil kira dalam pelan hala tuju itu adalah pelaksanaan liberalisasi industri automotif Malaysia.

Khamil berkata, PROTON menyahut seruan kerajaan itu menerusi pelaksanaan mekanisme strategi lebih mapan, pada masa sama meningkatkan daya saing vendor automotif tempatan.

“Pengurangan harga kereta tidak semestinya penurunan harga semata-mata, ia juga boleh dilaksanakan dengan menawarkan kereta yang ditambah baik dengan spesifikasi nilai tambah, tetapi tanpa kos tambahan kepada pembeli,” katanya. – BHarian

KD: Bolehlah beli kereta baru..