Friday, April 19, 2013

PRU13: AZIZAN AKUI LALUAN PAS SUKAR

ALOR SETAR 18 April - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui pakatan pembangkang berdepan laluan mencabar bagi mengekalkan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, beliau percaya pilihan raya kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit berdasarkan senarai calon yang diumumkan Barisan Nasional (BN) kelmarin.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pakatan pembangkang mempunyai strategi berdepan BN yang membariskan gandingan muka lama dan baharu sebagai calon.

"Kita ada strategi dan tahu bagaimana untuk serang mereka, sebelum ini kita tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon pakatan pembangkang Kedah di Kompleks Pas Kota Sarang Semut di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Azizan memberitahu, Pas membariskan muka baharu di 10 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Guar Chempedak, Tanjung Dawai, Belantek, Jeneri, Bandar Baharu, Bayu, Kuala Nerang dan Sungai Tiang.

Bagi kawasan Parlimen pula, tambah beliau, muka-muka baharu melibatkan Kubang Pasu, Baling dan Pendang.

Katanya, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh akan berpindah daripada kerusi DUN Alor Mengkudu ke Parlimen Jerlun manakala Exco kerajaan negeri daripada Pas, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib yang juga penyandang kerusi DUN Tanjong Dawai digugurkan.

Tambahnya, senarai calon Pas Kedah itu juga menyaksikan penyandang yang kekal bertanding ialah di kerusi Ayer Hitam, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundur, Tokai, Bukit Lada, Sungai Limau, Pantai Merdeka, Merbau Pulas, Kuala Ketil dan Kupang.

"Penyandang kerusi Parlimen yang kekal ialah Sik, Padang Terap, Pokok Sena dan Jerai.

"Dua penyandang kerusi Parlimen yang digugurkan ialah bekas wakil rakyat Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib kerana masalah kesihatan dan Dr. Mohd. Hayati Othman bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Pas di Pendang," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment