Tuesday, August 28, 2012

RAIS: SAMBUTAN MERDEKA UNTUK SEMUA, BUKAN VIP SAJA

Post Pic
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim Rais mengajak rakyat dari segala lapisan tanpa mengira fahaman politik untuk bersama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos ini.

Katanya, jemputan untuk menyertai sambutan di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan berhimpun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah malam adalah bagi menyatakan penyatuan rakyat.

 "Walau apapun perbezaan politik atau pendapat, Hari Kemerdekaan itu harus kita ambil sebagai pancang kenegaraan kita.

"Mari kita sama-sama tunjukkan kepada dunia bahawa tanpa mengira perbezaan politik, kita bersatu pada hari Merdeka," katanya  kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Celcom Axiata Berhad di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, perayaan sambutan Hari Merdeka pada Jumaat ini sebenarnya terbuka kepada orang ramai dan bukan hanya untuk orang kenamaan dan mereka yang terpilih sahaja.

Semalam, Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Kamaruddin Siaraf berkata, orang ramai boleh menonton sambutan kemerdekaan daripada layar di luar stadium kerana tempat duduk dikhaskan untuk orang kenamaan, anggota parti komponen BN, penjawat awam, pelajar sekolah dan kumpulan khas yang terpilih.

Rais, yang menyalahkan "pemimpin pembangkang tertentu", berkata beliau kesal apabila ada usaha menggagalkan hak rakyat untuk memperingati ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara.

Beliau pada sidang akhbar hari ini juga memberitahu, persiapan akhir giat dijalankan di Dataran Merdeka.

Rais juga meminta rakyat Malaysia untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sehingga Hari Malaysia pada 16 Sept ini. -AntaraPos

No comments:

Post a Comment