Monday, August 19, 2013

PEMBUNUHAN DI MESIR SEJARAH HITAM UMAT ISLAM

KOTA BHARU - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyertai masyarakat antarabangsa membidas kekejaman pasukan keselamatan Mesir terhadap penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi.

Lima NGO terbabit ialah Persatuan Kebajikan Alumni Timur Tengah, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri dan Kolej Islam Sultan Ismail Petra (ATTYKK), Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir, Majlis Pengetua SMU (A) Bantuan Kerajaan Kelantan, Persidangan Pengetua Maahad Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Kelantan.

Wakil NGO terbabit, Safei @ Suhaimi Sulaiman berkata, kekejaman yang berlaku di Mesir merupakan sejarah hitam umat Islam di negara itu.

"Peristiwa pembunuhan kejam terhadap umat Islam Mesir yang tidak berdosa oleh saudara-saudara mereka sendiri adalah amat dikesali dan amat memalukan bukan sahaja umat Islam tetapi seluruh umat manusia.

"Pihak kami memandang serius peristiwa malang ini dan mengutuk serta mengecam mereka yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Safei berkata, masyarakat dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab segera bertindak mengelak pertubuhan darah lebih besar berlaku di Mesir.

Beliau berkata, pihaknya turut mendoakan agar rakyat Mesir memperoleh jalan keluar ke arah kedamaian dengan sebaik mungkin.


"Kita juga berdoa semoga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir sentiasa dalam keadaan selamat dan berharap kerajaan sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar kita di sana," katanya. – BERNAMA/Utusan Online

No comments:

Post a Comment