Monday, August 19, 2013

LAGU NEGARAKU DI PAWAGAM: PASTIKAN TIDAK DIPERSENDA

KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat memperincikan kaedah terbaik sebelum memutuskan lagu Negaraku dimainkan di pawagam-pawagam.

Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, langkah itu penting bagi memastikan ia tidak menjadi bahan mainan dan sendaan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, stadium dan pawagam adalah dua situasi yang jauh berbeza dan dari segi rasionalnya, suasana di stadium pada setiap kali sebelum perlawanan bola sepak didapati tidak menimbulkan masalah berbanding di dalam pawagam.

"Di pawagam, keadaannya tertutup dan lebih suram serta gelap yang mungkin boleh mengundang perkara tidak diingini seperti rasa tidak hormat kepada lagu Negaraku. Mereka mungkin tidak mengendahkan untuk berdiri seketika jika tanpa pemantauan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang sedang mengkaji lebih serius cadangan memainkan lagu Negaraku di pawagam di seluruh negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan itu bertujuan menunjukkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat kepada negara dan sekiranya menjadi kenyataan, lagu kebangsaan tersebut akan dimainkan sebelum tayangan filem bermula.

Dalam pada itu, Gagasan turut menyarankan kementerian berkenaan mengkaji semula kebanjiran drama asing terutama dari Indonesia dan Filipina yang kini ditayangkan menerusi kebanyakan saluran utama televisyen tempatan.


Menurutnya, ini kerana, banyak filem atau drama asing itu membawa unsur-unsur negatif seperti khurafat, tahyul, sihir dan sebagainya sehingga boleh merosakkan pemikiran generasi muda di negara ini. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment