Thursday, July 18, 2013

KALIMAH ALLAH: MAIS KESAL KELANCANGAN DUTA VATICAN CITY 
 
SHAH ALAM - Tindakan Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino menyuarakan pendapat berhubung penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini bukan sahaja mencampuri urusan dalam negara malah menghina kedaulatan undang-undang yang telah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

Malah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, perbuatan Marino telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Mais berasa amat kesal kerana insiden seperti itu masih dianggap ringan oleh sesetengah pihak sehingga isu sama berbangkit semula setiap tahun, katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali pada 2009, 2010 dan terakhir pada 6 Jan lepas menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan di negeri ini oleh mana-mana agama bukan Islam.

"Malah, baginda turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan segelintir individu bukan Islam yang bertindak menghina kesucian agama Islam di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Adzib menggesa pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas dengan menghukum mana-mana individu Islam atau bukan Islam yang sengaja menghina kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan menurut Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, katanya, tindakan menggunakan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam dengan menyekutukan Allah dengan sesuatu entiti lain jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Menurutnya, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Feb 2010 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 telah berkuatkuasa sekian lama.

Namun, katanya ia dilihat seperti tidak membawa apa-apa makna dalam kalangan segelintir orang bukan Islam terhadap sensitiviti umat Islam di negara ini walaupun undang-undang itu berkuatkuasa hampir di semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

"Mais menyokong sepenuhnya kenyataan dan ulasan tokoh agama serta ulama yang disiarkan di media seperti Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) Datuk Noh Gadut, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kebangsaan (Perkim) Datuk Nakhaie Ahmad dan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad serta beberapa lagi yang mengecam tindakan berkaitan penyalahgunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

"Mais juga menyeru agar lebih ramai tokoh agama dan ulama tanpa mengambil kira latar belakang politik untuk tampil menyuarakan bantahan dan mengecam penyalahgunaan kalimah suci ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Mais turut menyokong desakan gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam kepada Kementerian Luar supaya mengusir keluar Duta Vatican City ke Malaysia atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu. - BERNAMA.COM

No comments:

Post a Comment