Showing posts with label RCI. Show all posts
Showing posts with label RCI. Show all posts

Friday, March 15, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: ADA KEPERLUAN TUBUH RCI - TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat ada keperluan untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengenalpasti dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata, penubuhan RCI mampu menjawab segala persoalan yang dibangkitkan rakyat mengenai insiden tersebut.

"Kita mempunyai kerajaan yang terbuka. Mereka (kerajaan) boleh tubuhkan RCI sekiranya rakyat ingin tahu mengenai siapa dalang di belakang pencerobohan ini," katanya.

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 58 musuh, manakala di pihak Malaysia, lapan anggota polis dan dua tentera gugur.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan sumber kewangan yang diperolehi untuk membiayai operasi kumpulan pengganas Sulu.

"Operasi itu memerlukan sumber kewangan yang besar...jadi dari mana wang itu datang? Saya sendiri tertanya-tanya mengenainya.

"Saya percaya Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu adalah lelaki miskin...dari mana wang untuk membiayai kumpulan pengganas itu datang?," katanya.

Beliau percaya wujud pihak ketiga yang membiayai pergerakan kumpulan pengganas Sulu memandangkan kerajaan Filipina mengesahkan Kiram adalah lelaki miskin. –mStar

KD: Mungkin cadangan Tun M ini wajar dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. 

Wednesday, February 6, 2013

JANGAN CEPAT BUAT KESIMPULAN MENGENAI RCI — PENGERUSI SPR

KUCHING — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara berkaitan dengannya yang disebut dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, oleh kerana siasatan RCI masih berterusan, maka adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak memberi komen yang menyalahkan mana-mana pihak berhubung perkara yang ditimbulkan dalam prosiding itu.

“Janganlah buat sebarang kesimpulan sebelum prosiding ini selesai. Janganlah tuduh SPR itu dan ini. Tak tepat. Belum habis. Tunggulah sampai habis. Kita hormatilah RCI,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar, beliau berkata memberi komen ketika ini samalah seperti membuat kesimpulan tentang kesudahan cerita dalam sebuah filem yang belum habis ditayang.

“Pada awal cerita dalam filem tu, hero kena tembak. Tapi, janganlah buat kesimpulan hero tu dah mati. Pada penghujung cerita, rupa-rupanya dia pengsan saja,” kata beliau.

Mengenai persiapan SPR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Abdul Aziz berkata suruhanjaya itu dianggar memerlukan RM78 juta untuk melaksanakan tugasnya di Sarawak, dengan lebih separuh daripada jumlah itu diperlukan untuk menyewa kenderaan untuk kegunaan petugasnya.

Katanya jumlah yang diperlukan itu adalah yang paling tinggi berbanding untuk negeri lain berikutan keluasan Sarawak.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat pelantikan kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati tempatan bagi PRU ke-13 di Sarawak.

Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Aziz berkata empat persatuan iaitu Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu, Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak akan memantau proses pilihan raya di kawasan Kuching. Persatuan Melanau Sibu dan Dewan Perniagaan Cina Sibu akan bertindak sebagai pemerhati bagi kawasan Sibu, manakala Persekutuan Orang Ulu Malaysia dan Persatuan Cina Miri menjadi pemerhati bagi kawasan Miri, katanya. -Bernama/Malaysian Insider