Wednesday, May 22, 2013

KETEPI PERBEZAAN FAHAMAN POLITIK, SELESAI ISU AIR SELANGOR

PUTRAJAYA: Kerajaan PKR Selangor harus mengenepikan perbezaan fahaman politik dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai satu persefahaman untuk menyelesaikan isu air di negeri itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata usaha mengatasi krisis air yang dilakukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sekarang mengambil masa terlalu lama dan tidak banyak rumusan dicapai.

“Saya meminta kepada pucuk pimpinan kerajaan PKR Selangor supaya bekerjasama dengan kita bagi menyelesaikan masalah air ini sementara Kerajaan Pusat melaksanakan pelan yang diluluskan Kabinet bagi menangani krisis air.

Rakyat wajar diutamakan. Perbezaan fahaman politik harus diketepikan dan jauhkan sama sekali amalan menjadikan krisis air ini sebagai pertandingan bagi menentukan siapa lebih hebat," Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

 “Saya harap kita boleh mencapai permuafakatan dalam aspek tertentu dan wujudkan persefahaman supaya kita (kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat) dapat bekerjasama,” katanya pada satu sidang media.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai daripada pelbagai agensi dan jabatan di bawah kementerian yang baru diterajuinya.

Ongkili berkata, walaupun ada kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sekarang, perkembangan yang dicapai tidak memberangsangkan manakala rakyat terus dibelenggu masalah bekalan air.

Sehubungan itu, beliau berharap dapat mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian.

Ongkili percaya beliau boleh meyakinkan pucuk pimpinan kerajaan PKR Selangor jika dapat duduk semeja untuk berunding termasuk mengkaji semula langkah yang dipersetujui sebelum ini, baik daripada segi perundangan atau sebaliknya.– BERNAMA/BHarian

No comments:

Post a Comment