Friday, March 29, 2013

JANGAN PERTIKAI KEDAULATAN SABAH - ABDUL RAHIM BAKRI

KUALA LUMPUR — Seorang anggota Parlimen dari Sabah hari ini berkata tiada sesiapa pun boleh mempertikai atau mempersoalkan kedaulatan negeri itu.

Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim berkata ketika Sabah bersetuju untuk memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1963, pemimpin dan rakyat Sabah telah bersatupadu dan bersepakat dalam sebuah keluarga besar persekutuan Malaysia.

"Apa yang penting adalah keputusan tersebut turut mendapat pengiktirafan badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan sah dan diiktiraf masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahim, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, turut mengingatkan penduduk dan rakyat di luar bandar di negeri itu khususnya supaya tidak terbawa-bawa dengan budaya politik baharu iaitu 'matlamat menghalalkan cara' yang dianjurkan pihak tertentu.

Katanya rakyat perlu bijak membuat pertimbangan sekiranya timbul sebarang propaganda dan menilai keadaan mengikut kewajaran semasa kerana semua rakyat bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Beliau seterusnya menyeru rakyat agar bersama-sama mempertahan kedaulatan negara dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi menjaga integriti wilayah dan keselamatan negara. — Bernama/The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment