Friday, March 29, 2013

KERAJAAN SEMENTARA: SPR TIADA KUASA BUAT PERATURAN

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan berhubung kerajaan sementara, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata ini kerana tiada sebarang peruntukan di bawah perlembagaan dan undang-undang yang membolehkan SPR berbuat demikian.

"Jika SPR ada peraturan berhubung perkara itu pun, belum tentu lagi mereka akan patuhinya," katanya ketika mengulas pertanyaan sama ada SPR boleh merangka peraturan apa yang perlu dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, SPR berpandangan setiap kerajaan negeri dan persekutuan wajar ada peraturan mengenai kerajaan sementara.Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Pejabat Peguam Negara untuk menentukan segala garis panduan bagi sesebuah kerajaan sementara.

Dalam perkembangan lain, SPR menyangkal dakwaan kononnya agensi itu tidak memberi maklum balas berhubung surat yang dihantar oleh anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, pada 4 Mac lepas berhubung 4,637 pengundi meragukan.

"SPR setakat pagi ini belum menerima surat yang diperkatakan itu, tak tahulah kalau lepas ini baru surat itu sampai. Jika surat sudah diterima SPR sudah tentu akan ambil maklum dan membuat semakan," katanya. - Bernama/mStar

No comments:

Post a Comment