Thursday, March 14, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: SYUKURI KEAMANAN MALAYSIA

HULU SELANGOR: “Kalau tak jadi peristiwa seperti ini kemungkinan besar kita tak dapat merasa pentingnya berada dalam negara yang selamat.
“Sebab itu penting bagi kita berganding bahu memastikan keamanan terpelihara bagi membolehkan kita menikmati hidup seperti sedia ada,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengulas mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu yang menjadi ingatan kepada seluruh rakyat negara ini betapa keharmonian yang dikecapi sebelum ini terlalu berharga.

Katanya, ia juga bukti nikmat paling besar dimiliki penduduk Malaysia ialah keselamatan dan keamanan, sekali gus menuntut sokongan rakyat kepada usaha kerajaan mengekalkan keharmonian dikecapi selama ini.

“Saya baru balik dari Lahad Datu dan melihat sendiri keadaan di lapangan. Penduduk di sana tidak bebas melakukan kerja seharian akibat pencerobohan pengganas.

“Rasa tidak tenteram ini mengingatkan kita negara luar yang dibelenggu pergolakan seperti Libya dan Syria yang berterusan sehingga kini menyebabkan banyak nyawa terkorban,” katanya.

Menurutnya, kejadian di Sabah itu juga wajar dijadikan iktibar dan melahirkan rasa syukur dengan nikmat diberi Allah SWT.

“Kita mahu rakyat tahu pimpinan melakukan rangka usaha lebih besar merangkumi transformasi untuk meletakkan Malaysia di tahap lebih tinggi,” katanya.

KD: Setuju dengan pendapat TPM ini. Peristiwa pencerobohan Lahad Datu ini menjadi pengajaran yang amat berharga kepada masyarakat kini khususnya dan generasi masa akan datang secara amnya.

No comments:

Post a Comment