Thursday, March 14, 2013

WIKILEAKS PERNAH DEDAH NUR MISUARI MAHU TAWAN SABAH, RAKAN ANWAR - UTUSAN

KUALA LUMPUR— Memetik pendedahan Wikileaks pada 2007, akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari pernah berhasrat untuk menakluk Sabah.

Kabel 07MANILA1534 bertarikh 11 Mei 2007 di laman web itu mendedahkan peguam MNLF, Ombra Jainal, pernah menggambarkan Nur Misuari sebagai orang yang tepat untuk mendapatkan semula Sabah dari Malaysia.

Utusan turut melaporkan, berdasarkan maklumat tersebut, Nur Misuari masih lagi marahkan kerajaan Malaysia kerana menahan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Filipina pada Januari 2002.

Pemimpin MNLF yang pada 2007 ditahan di rumahnya ketika itu, dilaporkan kabel tersebut dalam Perkara 6 menyatakan, Nur Misuari pernah memberitahu seorang pemimpin kanan Angkatan Tentera Filipina (AFP), Mejar Jeneral Ben Dolorfino bahawa apabila masanya MNLF mungkin boleh menyerang Sabah pada pukul 5 pagi dan mengambil alihnya pada pukul 7 pagi.

Wikileaks, dalam maklumat itu, turut mendedahkan Nur Misuari juga pernah dilaporkan mendakwa beliau secara peribadi adalah pewaris sah yang berhak menuntut Sabah berdasarkan darah keturunan rajanya dan menyalahkan Malaysia sebagai ejen yang menimbulkan huru-hara di Sulu.

Pendedahan di Wikileaks itu turut menyatakan Fuad Kiram yang mengisytiharkannya sebagai Sultan Sulu telah memberikan gelaran Datu (putera raja) Kesultanan Sulu dan Borneo Utara (Sabah) kepada Nur Misuari ketika pemimpin MNLF itu ditahan di rumahnya pada 14 Mac.

Kabel itu turut mendedahkan bahawa Dolorfino pernah memberi komen tentang kebimbangan Malaysia terhadap niat Nur Misuari itu yang masih mempunyai beratus pengikut di negeri itu.

‘‘Malaysia juga bimbang mengenai hubungan beliau dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai ‘rakan lama’ Nur Misuari,’’ lapor Utusan dipetik kabel itu.

Menurut kabel itu, beberapa pegawai dari Malaysia telah mengadakan sekurang-kurangnya tiga pertemuan dengan Nur Misuari atau isteri-isterinya seperti yang dinyatakan oleh Jainal dan Dolorfino.

“Dolorfino berkata, pada pertemuan 10 April, rombongan khas daripada Perdana Menteri Malaysia (ketika itu ) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberitahu Nur Misuari agar tidak mencampuri urusan politik dalaman Malaysia.

“Menurut Jainal pula, Nur Misuari berjanji kepada wakil Abdullah bahawa beliau tidak berniat untuk terlibat dalam urusan dalaman Malaysia,” kata Wikileaks.

Kabel itu turut menyatakan bahawa Dolorfino berpendapat yang Malaysia mahu mencari jaminan yang lebih kukuh bahawa Nur Misuari tidak meneruskan isu tuntutan terhadap Sabah itu. -TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment