Friday, March 1, 2013

PRU13: MANIFESTO PAKATAN HANYA CERITA FANTASI

RASAH 27 Feb. - Janji indah pakatan pembangkang menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dibentangkan kelmarin disifatkan tidak ubah seperti kisah fantasi kanak-kanak popular, Alice in Wonderland.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, manifesto itu mengandungi janji yang tidak akan tertunai dengan rakyat cuba diperdaya sama seperti cerita fantasi tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berkata, manifesto itu merupakan pembohongan tahap tertinggi untuk kelangsungan politik pembangkang semata-mata dan bukan dirangka demi kebajikan rakyat.

"Ini adalah manifesto yang paling teruk pernah direka pembangkang kerana hanya bertujuan memperdaya rakyat dengan harapan palsu.

"Apabila saya baca dan amati manifesto mereka, saya geleng kepala kerana melihat gimik politik yang paling melampau dilakukan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan YKN kepada keluarga Wong Kok Leong di Taman Bunga Blossom, dekat sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas daripada ahli-ahli Wanita UMNO yang melawat dari rumah ke rumah, rakyat dilihat tidak mudah tertipu dengan manifesto tersebut.

Kata beliau, manifesto itu juga memandang remeh kebajikan rakyat kerana langsung tidak menyatakan pendekatan membantu rakyat miskin dan golongan tidak bernasib baik.

"Pembangkang juga menganggap soal kebajikan rakyat tidak mustahak walaupun sebelum ini mendakwa hanya mereka sahajalah yang memperjuangkan nasib rakyat," katanya.- Utusan Online

No comments:

Post a Comment