Showing posts with label PRU. Show all posts
Showing posts with label PRU. Show all posts

Monday, March 18, 2013

POLITIK SANTA CLAUS WARNAI PILIHAN RAYA MALAYSIA, KATA AKHBAR SINGAPURA
KUALA LUMPUR — Demam Pilihan Raya 2013 mendorong ahli politik Malaysia daripada kedua-dua belah pihak menaburkan gula-gula untuk mencerahkan peluang mereka, lapor akhbar Singapura sambil mengingatkan bahawa bukan pengundi penentu pilihan raya tetapi sebaliknya mereka yang akhirnya terpaksa bayar untuk gula-gula kerajaan.

“Pertarungan sengit untuk meraih undi mendorong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pembangkang PR menjanjikan lebih banyak langkah yang populis.

“Anda boleh gelarkannya politik Santa Claus,” tulis Reme Ahmad penolong pengarang berita luar dalam akhbar Straits Times dalam laman pendapat untuk edisi hari Ahad.

Beliau menegaskan Najib, yang mengetuai Barisan Nasional (BN), telah menabur lebih banyak “saguhati” wang tunai untuk meringankan kos sara hidup yang meningkat yang menjadi isu keutamaan buat 40 peratus daripada 13.3 juta pengundi yang masih bergelut dengan isu-isu asas seharian; isyarat bahawa lebih banyak diberikan jika kerajaan sedia ada kekal memerintah.

Antara berbilion ringgit gula-gula yang beliau senaraikan adalah pemberian bantuan tunai RM500 kepaa setiap isi rumah, RM200 rebat telefon pintar kepada ribuan remaja, RM250 baucar buku pelajar sekolah dan pada minggu lepas pengumuman kenaikkan gaji kepada 230, 000 polis dan askar—yang dianggap sebagai kelompok utama menyumbangkan undi tetap kepada pemerintah.

Penulis juga menegaskan bahawa Pakatan Rakyat (PR), yang juga dilihat sebagai pesaing mantap untuk merampas kuasa pusat buat kali pertama, turut menjanjikan banyak gula-gula.

Antara yang disenaraikan beliau ialah pendidikan percuma, tarif perkhidmatan utiliti yang lebih rendah, mengurangkan kos pengangkutan keatas kereta dan petrol serta tol lebuh raya yang menjadi kunci utama dalam manifesto PR yang dilancar bulan lepas.

“Tetapi yang merisaukan ialah ahli politik yang mengheboh-hebohkan.

“Tetapi semua gula-gula dikeluarkan atau dijanjikan, mampukan kerajaan selepas ini memindahkan lebih banyak wang awamke arah aktiviti-aktiviti yang produktif seperti menaik taraf pelabuhan dan meningkatkan pendidikan pekerja, atau mungkinkah mereka terpaksa memberi lebih banyak gula dan rempah kepada pengundi yang sudah mendapat manfaat daripada semua yang baik?” soal penulis.

Reme berkata realitinya semua gula-gula janji dan urusniaga dengan lebih banyak saguhati tidak semestinya akan menarik sokongan pengundi, menurut beberapa pemerhati politik yang berkata disini.

“Realiti yang teruk ialah lebih banyak kamu beri, lebih banyak mereka mahu.

“Tujuan kedua ia semua hadiah percuma tersebut harus dibayar oleh seseorang yang berada dalam garisan tersebut,” kata Reme.

Beliau menegaskan Malaysia sudah berada dalam tahun ke-16 bajet defisit sejak Krisis Kewangan Asia 1997 dimana wang digunakan untuk dibayar keatas belanja kerajaan datang daripada cukai dan “bank-bank rakus lain seperti syarikat minyak Petronas”.

Beliau mengingatkan hasil cukai yang mungkin boleh dibelanjakan untuk membina jalan raya baru sebaliknya boleh disalurkan untuk tujuan lain bagi memastikan janji-janji pilihan raya politik, seperti subsidi harga petrol atau membayar pampasan kepada syarikat lebuh raya untuk menghapuskan tol.

“Dalam kata lain, mereka akan dibayar oleh pengundi yang sama menyangka mereka mendapatnya ecara percuma,” kata beliau. -www.themalaysianinsider.com

KD: Politik Santa Klaus?? Amboi, bukan main selamba pihak luar ini mengkritik senario politik negara kita ya.. adakah ia berunsur membina ataupun lebih ke arah negatif? apa pun sebenarnya, memang mudah untuk mengkritik tetapi bukan mudah mentadbir.

Friday, March 1, 2013

MANIFESTO PRU13: HAMPIR SEMUA JANJI MANIFESTO PRU-12 PEMBANGKANG TAK DITUNAI DI SELANGOR

SHAH ALAM 28 Feb. - Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mengikut kajian yang dilakukan, hampir keseluruhan manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) hanyalah janji kosong yang dijadikan umpan untuk memancing undi.

Beliau berkata, pakatan pembangkang secara terang-terangan telah menipu rakyat demi meraih sokongan untuk memerintah di Selangor.

"Banyak janji-janji PRU-12 tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang dan ia membuktikan mereka tidak mampu untuk menjadi pentadbir yang baik.

"Manifesto yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang baru-baru ini juga nampaknya memakan diri mereka sendiri, mereka hanya memainkan cerita lapuk yang sama dengan sesi ceramah mereka," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zin, yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, pakatan pembangkang tidak boleh menjadikan negeri ini sebagai contoh kejayaan mereka untuk mentadbir negara kerana sudah terbukti pentadbiran mereka di Selangor gagal.

Ujar beliau, trend pelaburan kerajaan negeri mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 secara keseluruhannya menunjukkan dividen yang diterima dari 2007 hingga 2011 adalah berjumlah RM5.91 juta daripada kos pelaburan.

"Kadar pulangan dividen berkenaan adalah sangat rendah dan sangat tidak memuaskan, namun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menggunakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai helah mahu menutup kelemahan pengurusan pelaburan di peringkat kerajaan negeri," katanya.

Selain itu kata beliau, terdapat perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan, sebagai contoh janji untuk melaksanakan pendidikan percuma.

Jelas beliau lagi, BN juga pernah mendesak agar janji itu ditunaikan terlebih dahulu di institut pengajian tinggi yang terdapat di negeri tadbiran pakatan pembangkang.

"Namun sebaliknya yang berlaku, di Selangor sendiri masalah IPT seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) masih belum diselesaikan.

"Malahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan Unisel yang dilihat tidak profesional dan membawa kepada kerugian," katanya.

Sementara itu katanya, pakatan pembangkang juga berjanji dalam manifesto baharu mereka untuk memelihara 141,000 hektar tanah Orang Asli, namun sebaliknya berlaku di Selangor apabila kira-kira tujuh hektar tanah golongan berkenaan di Kuala Langat dipindah milik kepada orang lain.

Menurut Mohd. Zin, satu lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang ialah kononnya ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan suruhanjaya antimonopoli.

"Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbilion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd," katanya. - Utusan Online

Wednesday, February 20, 2013


DAKWAT KEKAL: MASIH ADA PEMILIH KELIRU CARA PENGGUNAAN 

KUALA LUMPUR, 20 Feb — Dalam bahang pilihan raya umum ke-13, yang akan diadakan bila-bila masa sahaja, masih ramai rakyat Malaysia keliru dengan maksud penggunaan dakwat kekal yang akan digunakan buat pertama kali. Pemilih berdaftar yang ditemui penulis secara rambang umumnya menyangka dakwat kekal adalah suatu alat yang akan digunakan bagi menanda kertas undi pada hari pengundian nanti.

Antaranya seorang penjawat awam, Khairunila Khalid, 50, berkata beliau berpendapat penggunaan dakwat kekal itu merujuk dakwat pen yang akan digunakan untuk menanda kertas undi berbanding pensil yang digunakan sebelum ini.

Berkongsi pandangan sama, seorang eksekutif perhubungan pelanggan, Noor Ain Isaak, 26, yang akan mengundi buat pertama kali: "Saya ingat dakwat kekal ini digunakan untuk menanda kertas undi supaya undi itu tidak boleh diubah."

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika ditemui Bernama baru-baru ini menjelaskan penggunaan dakwat kekal merujuk calitan di atas jari telunjuk tangan kiri pengundi, yang tanpa calitan dakwat berkenaan kertas undi tidak dikeluarkan kepadanya.

Beliau menegaskan pengunaan dakwat kekal adalah satu langkah mengelakkan pengundian berulang seperti yang didakwa sesetengah pihak, bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan proses pengundian.

"Sebelum ini banyak tohmahan dan fitnah terhadap SPR mendakwa ada pengundi Malaysia mengundi lebih daripada sekali walaupun selama ini tidak pernah dibuktikan.

"Bagaimanapun, SPR ambil tindakan atas syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya) untuk gunakan dakwat kekal ini dicalit pada jari pengundi sebelum kertas undi dikeluarkan," katanya.

Penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan Februari tahun lepas.

Abdul Aziz menegaskan setiap pengundi berdaftar yang mahu mengundi mesti dicalit dakwat kekal sebelum kertas undi diberikan kepada mereka termasuk pengundi awal tetapi tidak melibatkan pengundi pos.

"Kalau tiada jari telunjuk, ada cara lain. Yang penting ada tanda dakwat kekal. Bila dah calit barulah namanya diteriak dan kertas undi diberikan. Kalau kata tak mahu calit, beri macam-macam hujah pun kita tak akan beri kertas undi," katanya.

Mengulas perkara itu, beliau berkata seseorang pengundi yang masuk ke pusat mengundi mestilah menunjukkan jari-jari tangan yang bersih kepada kerani pengundian bertugas terlebih dahulu sebelum menyerahkan kad pengenalan, dan namanya disebut untuk membolehkan kertas undi dikeluarkan.

"Inilah kali pertama penggunaan dakwat kekal. Kita harap tiada masalah. Kita dah buat latihan dan ia tak makan masa lama kerana dakwat kekal ini cepat kering," katanya.

Menurut poster SPR, tatacara mencalit dakwat kekal adalah seperti berikut:

* Dakwat kekal dicalitkan pada jari telunjuk kiri pengundi, atau

* Mana-mana jari kiri jika tiada jari telunjuk kiri

* Jari telunjuk kanan jika tiada mana-mana jari kiri

* Mana-mana jari kanan jika tiada jari telunjuk kanan, atau

* Dicalit pada hujung lengan kiri jika tiada mana-mana jari.

Memandangkan terdapat dua jenis pengundi iaitu pengundi awal dan pengundi biasa, Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan dua jenis dakwat yang berbeza daripada aspek ketahanannya.

"Bagi pengundi awal, dakwat akan tahan lebih lama. Kita tak mahu tuduhan kata orang yang sama ini akan mengundi lagi sebagai pengundi biasa. Untuk undi biasa, kita ada dakwat kekal berlainan warna.

"Dakwat kekal ini tidak boleh ditiru. SPR akan edarkan ke pusat-pusat pengundian sekali dengan peralatannya seperti berus dan pelapik jari berserta kertas undi dan kotak kertas undi pada petang hari sebelum mengundi," jelasnya.

Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat itu bukan sahaja mendapat kelulusan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan atau mempunyai kesan sampingan, malah turut mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 11 Jan 2012 memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum adalah harus dan dibenarkan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat itu tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

Penggunaan dakwat kekal pernah dicadang untuk digunakan pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008 tetapi dibatalkan atas nasihat perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam. — Bernama/ The Malaysian Insider