Wednesday, October 3, 2012

DANA ASING: MPM GESA AMBIL TINDAKAN SEBELUM TERLAMBAT
 
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sekiranya terbukti menerima pembiayaan dana asing.

Setiausaha Agungnya, Dr. Hassan Mad berkata, pihak berkuasa tidak boleh membiarkan dua entiti tersebut sewenang-wenangnya melakukan agenda tersirat pihak asing yang mahu melihat negara ini hancur dan porak-peranda.

Pendedahan yang dilaporkan kebelakangan ini menunjukkan dana asing itu diperoleh daripada pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan penyangak mata wang, George Soros.

Pihak tidak bertanggungjawab itu juga dilihat mengambil kesempatan menghentam kerajaan disebabkan tiada undang-undang yang tegas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris Khamis lalu berhubung penglibatan Soros menerusi pertubuhan tertentu yang menyalurkan dana kepada pihak-pihak tertentu dalam negara bertujuan menimbulkan suasana huru-hara.

Katanya, Malaysiakini dan Suaram juga dilihat tidak mempunyai agenda membaiki budaya politik negara sebaliknya menggunakan alasan seperti kebebasan dan hak asasi untuk menghancurkan negara.

Saya berpendapat mereka ini seperti pelampau politik berniat menghancurkan sistem politik negara," jelasnya. – Utusan Online 

No comments:

Post a Comment