Monday, April 29, 2013

PRESIDEN PAS PERLU DALAMI SEJARAH TRAGEDI 13 MEI

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta jangan mengaburi mata rakyat dengan memutar belit fakta sejarah, terutamanya mengenai tragedi 13 Mei 1969.

Tindakan itu bukan hanya boleh memecah belahkan perpaduan rakyat, tetapi juga boleh meruntuhkan institusi Perlembagaan negara yang merupakan nadi kepada kesejahteraan Malaysia hari ini.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, semua fakta sejarah yang menjadi rujukan generasi kini adalah benar dan tidak ada alasan untuk menafikan atau menolak semua peristiwa yang berlaku dalam negara ini sejak dulu hingga kini.

Sebagai pemimpin, saya rasa Abdul Hadi perlu tahu banyak tentang sejarah negara ini dan bukannya memutar belit fakta demi mendapatkan sokongan.

Tragedi itu berlaku kerana sikap keterlaluan sesetengah penyokong parti pembangkang yang mengeluarkan slogan-slogan berbaur perkauman ketika meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum 1969," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa tragedi berdarah pada 13 Mei 1969 didalangi oleh UMNO bagi mengekalkan kuasanya.

Ramlah berkata, dakwaan pemimpin Pas itu secara tidak langsung menggambarkan pengetahuannya yang cetek dalam bidang sejarah.

Sebelum mengeluarkan dakwaan sedemikian, saya nasihatkan Abdul Hadi perlu membuat banyak rujukan agar tidak menampakkan betapa terdesaknya beliau untuk mendapatkan sokongan.

Beliau sepatutnya mengangkat martabat orang Melayu dan Islam, bukannya memburukkan kaum sendiri demi mengejar kuasa," ujarnya.

Katanya, tiada negara yang inginkan kekacauan dan pertumpahan darah, sebaliknya sentiasa berusaha mengekalkan keamanan yang ada untuk kesejahteraan rakyat. –UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment