Thursday, July 11, 2013

ISU DAKWAT KEKAL: JANGAN PERLEKEH SISTEM SPR

calitKUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan telah berusaha untuk memperbaiki masalah berhubung dakwat kekal dengan mengambil pendekatan mencelup jari ke dalam botol pada Pilihan Raya Kecill (PRK) Kuala Besut.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan mencuba pelbagai kaedah untuk memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, rakyat juga perlu berubah sikap yang suka memperlekehkan sistem SPR, walaupun telah berusaha memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa terutamanya dalam isu dakwat kekal.

"Cara celup jari telah dilakukan di kebanyakan negara, jadi SPR turut mencuba pelbagai kaedah untuk menambah baik usaha ini.

"Keberkesanan dakwat itu di kulit bukan di kuku jika dakwat telah dicelup ia akan lebih berkesan dan seragam, bukan calit ada yang sekali ada yang dua kali.

"Negara kita ini kebanyakannya nak perlekeh dakwat ini, negara lain tak ada usaha nak hilangkan dan cuci jari mereka, tapi di negara ini, ada pihak mencuba dengan pelbagai cara untuk hilangkannya kerana tak percaya pada SPR," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan akan menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat bagi menggantikan kaedah mencalit pada Hari Pengundian Awal (20 Julai) dan Hari Pengundian Biasa (24 Julai) di PRK Kuala Besut.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga berkata, dakwat kekal yang akan digunakan pada PRK tersebut diperolehi daripada pembekal yang baru.

"Kita telah ambil daripada pembekal baru bagi mengelak perkara yang sama berlaku," katanya lagi.
                                                                                                                                                         
Bagaimanapun apabila diminta mengulas berapa lama dakwat tersebut akan kekal, Wan Ahmad berkata, SPR berharap dakwat kekal yang dicelup itu nanti akan bertahan lama melainkan jika tidak ada usaha untuk membersihkannya.

"Saya tak boleh nak kata berapa hari ia akan kekal, kalau tidak ada usaha hendak bersihkannya ia akan tahan," katanya.– Sinar Harian

No comments:

Post a Comment