Thursday, July 11, 2013

PRK KUALA BESUT: VETERAN UMNO MAHU PENGUNDI WARGA EMAS UNDI BN

PRK Dun Kuala BesutMELAKA - Kelab Veteran Umno kini fokus untuk memastikan 2,385 pengundi warga emas berusia lebih 60 tahun mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dun Kuala Besut.
  
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata Veteran Umno juga akan pilihan raya yang melibatkan 17,683 pengundi berdaftar itu.
  
"Ini selaras dengan kempen 'Keluargaku Pengundi BN' yang dijalankan Veteran Umno. Veteran Umno di Besut akan turun padang habis-habisan bagi memastikan kemenangan calon BN.
  
"Sebanyak 10,000 pelekat 'Keluargaku Pengundi BN' akan diedarkan kepada anggota Veteran Umno bagi menarik perhatian pengundi Dun Kuala Besut," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Dun Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas.
  
Penamaan calon akan diadakan esok manakala pengundian awal 20 Julai dan pengundian biasa pada 24 Julai.

BN menamakan anak tempatan seorang jurutera awam, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, manakala PAS menamakan kontraktor Endot@Azlan Yusof, 48, sebagai calon parti masing-masing.
  
Mustapha berkata Veteran Umno juga akan mengadakan program yang bersesuaian dengan bulan Ramadan seperti majlis tahlil, bacaan Yasin, tazkirah Ramadan dan majlis berbuka puasa secara berkelompok menjelang pilihan raya kecil ini.
  
"Lawatan rumah ke rumah bagi mengeratkan silaturahim di samping menjawab isu-isu semasa, gotong-royong membersih surau dan masjid serta tanah perkuburan akan dijalankan veteran di Dun itu," katanya.
  
Beliau berkata tenaga penceramah luar bagi pilihan raya kecil ini hendaklah terdiri daripada penceramah agama bukannya penceramah politik semata-mata dan sistem bapa angkat dari luar hendaklah dilaksanakan dengan berkesan bagi menarik pengundi memilih calon BN.
  
"Isu tempatan antaranya isu nelayan di kawasan itu perlu diselesaikan pihak yang terlibat seperti Jabatan Perikanan. Isu lain seperti kenaikan harga barang perlu dibendung bagi memastikan ia tidak dijadikan modal politik pembangkang," katanya.
  
Mustapha berkata semua pihak perlu menjaga tataetika berkempen khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini. – Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment