Showing posts with label Internet. Show all posts
Showing posts with label Internet. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

TUN M AKUI KESILAPAN TIDAK SEKAT INTERNET SEMASA BERKUASA

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapannya semasa masih berkuasa kerana memberi jaminan tidak akan menyekat internet, ia ekoran keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini dimana media baru banyak memainkan peranan.

Dr Mahathir berkata, beliau kini terpaksa menimbang semula keputusannya selepas memberikan kebebasan penuh internet semasa mengetuai Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996.

"Ketika saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet.

"Saya beritahu dia tidak, kami akan jadi sangat bebas... tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali," kata beliau semasa berucap pada majlis penutup CEO Forum 2013 di Berjaya Times Square Convention Centre disini.

Beliau juga berkata tidak menyangka keputusannya tersebut menyebabkan perubahan yang drastik sehingga ia disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab hinggakan orang ramai mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi antara satu sama lain.

"Bila berikan kebebasan, kamu fikir tiada banyak yang akan berubah tapi sekali kamu beri mereka kebebasan, mereka cenderung menyalahgunanya.

"Sekarang kamu lihat orang ramai melakukan provokasi antara satu sama lain, kenyataan-kenyataan tersebut menyebabkan kita semua tidak dekat antara satu sama lain," katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berjanji tidak akan melakukan sekatan terhadap Internet, namun akan mendekati rakyat Malaysia melalui media sosial.

Najib menegaskan kerajaan tidak akan bertindak melesenkan portal berita dan blog sebagaimana dilakukan negara jiran, bagaimanapun, katanya, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan tetap menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Media sosial, terutamanya Facebook dan Twitter, telah diakui menjadi sebahagian daripada pencetus "Arab Spring" di Mesir apabila rakyat negara itu menuntut presiden mereka Hosni Mubarak untuk meletak jawatan.

Kira-kira 13.6 juta pengguna Facebook di Malaysia dari 28.3 juta penduduk, mewakili 48 peratus dari keseluruhan penduduk, menurut laman web socialbakers.com.

Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan. – The Malaysian Insider

Monday, June 17, 2013

TELITI UNDANG-UNDANG INTERNET UNTUK DIKUATKUASA DI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ramai yang setuju supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baru atau mengemaskini undang-undang sedia ada.

Namun, ramai juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat negara ini juga perlu diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang Internet di Barat perlu diteliti sebelum boleh digunapakai.

Sensitiviti kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti, namun mereka masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi.

Masyarakat negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.

“Contoh lain, jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan tuduhan (jika fitnah itu palsu) dan jika mereka yang buat fitnah didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman,” katanya.

“Namun perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah atau perihal Akta Hasutan.”

Beliau berkata, seharusnya kebebasan bersuara perlu datang dengan rasa tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga Negara – Amerika Syarikat, Britain dan Australia – dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri.

Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.

Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara.

Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya.

Tumpuan sekatan terutamanya kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram yang lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.

Di Britain pula penapisan Internet termasuk menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak.

Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.

Sesuaikan dengan budaya

Azizul berkata, negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai undang-undang yang hampir sama dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013 Britain (yang baru) namun negara tersebut lebih cekap dan pantas mengambil tindakan kerana telah lama melaksanakannya.

Di Malaysia sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan realiti sehingga tidak tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.

Jadi cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan jangan bertolak ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah kerana kalau tidak dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan boleh menjadi huru-hara, katanya.

Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA, Dr. Norbaiduri Ruslan berkata rakyat di Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak mereka termasuk mementingkan kebebasan dan privasi di tahap yang tertinggi.

“Kita masih belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini),” katanya. “Bila kita sudah sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan tahu jaga perilaku kita di alam maya dan realiti.

“Kempen kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang bagaimana cara menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana ketika ini terlalu banyak pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat spiritual, personaliti dan lemah psikologi.

“Jika kita terlalu ingin sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita,” katanya.

Didik rakyat Malaysia

Norbaiduri berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada.

Pengamal Undang-Undang, Khairul Azam Abd Aziz berkata, seseorang penulis termasuk dalam dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman.

“Kalau penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu gugat ketenteraman awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi,” katanya.

Seorang blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata, kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media demi masa depan generasi mendatang.

“Penyalahgunaan media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak terkecuali. Apabila orang dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa usul periksa semata-mata kerana menaruh perasaan geram, ia akan menjadi ikutan.

“Di peringkat kanak-kanak akan timbul masalah pembuli siber,” katanya. – Bernama/The Malaysian Insider

Friday, June 7, 2013

UNDANG-UNDANG INTERNET, SKMM DIGESA KAJI PENGGUNAAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengkaji aspek penggunaan internet di negara ini secara holistik, termasuk keperluan dan kesesuaian mewujudkan undang-undang tertentu untuk mengawalnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu akan diteliti secara rasional, tidak terburu-buru tanpa membabitkan tempoh masa, dan bukan berdasarkan pertimbangan atau perspektif politik.

Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu sensitif dengan segelintir kandungan online berbaur politik yang melakukan penyalahgunaan atas tujuan tertentu, sebaliknya perlu melihat kegunaan internet secara menyeluruh, termasuk untuk kepentingan perniagaan, mempromosi negara dan perkongsian maklumat serta pendapat dalam pelbagai bidang.

Kawal internet
Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata, kajian SKMM juga akan mengambil kira langkah negara lain seperti Australia dan United Kingdom yang walaupun mengamalkan dasar liberal, tetap melaksanakan inisiatif kawalan terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada pornografi serta mengelak ancaman pengganas.

“Kita akan pantau perkara ini. Ada sesetengah perkara itu tidak perlu kita buat undang-undang seperti di Singapura. Undang-undang yang ada sudah memadai... boleh gunakan akta sedia ada, tidak semestinya kita kena buat satu peraturan perlesenan untuk tujuan itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Pantau sebelum contohi Singapura

Mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, yang menggesa kerajaan mencontohi langkah Singapura mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara ini, Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu terlebih dulu memantau keberkesanan tindakan Singapura itu, memerhati pelbagai aspek yang masih kabur berhubung pelaksanaan berkenaan, selain mengenal pasti sama ada ia dianggap suatu kaedah untuk menyekat kebebasan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan, paling penting dalam konteks ini ialah rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri, lebih bertanggungjawab dan bijak dalam memanfaatkan kemudahan internet, termasuk tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam, atau terperdaya dengan pembohongan.  –Berita Harian

Thursday, October 4, 2012

TUJUH PESALAH SIBER DIHADAPKAN KE MAHKAMAH

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Seramai tujuh pesalah siber telah dihadapkan ke mahkamah dan kebanyakannya atas kesalahan yang melibatkan penghinaan terhadap institusi beraja.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Joseph Salang Gandum berkata, semua jenis kandungan rangkaian termasuk dalam rangkaian sosial internet tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Fitnah 1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pihak yang difitnah atau dimalukan boleh mengambil tindakan sivil secara persendirian dengan memfail saman malu ke atas mereka yang didakwa menabur fitnah melalui rangkaian sosial tersebut," katanya. -UtusanOnline
KD: Para blogger patut maklum berhubung perkara ini. Bukan semua perkara/maklumat boleh diulas @ dikomen sesuka hati. Jika maklumat yang disampaikan tidak benar, ia tidak ubah seperti fitnah sekaligus menjejas maruah pihak yang difitnah.

Thursday, August 16, 2012

BANTERAS KES TIPU DI INTERNET

Rangka tindakan khusus -PPIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan merangka tindakan lebih khusus untuk membanteras kegiatan skim penipuan termasuk menerusi internet yang turut menyasarkan golongan elit dan berpendidikan tinggi.

Kegiatan penipuan antaranya gores dan menang, pelaburan emas, tambah nilai kad SIM, cabutan nombor kad SIM, pembelian rumah, loteri dan wasiat yang dikesan didalangi warga asing itu dipercayai membabitkan transaksi berbilion ringgit.

Kerugian besar

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun membabitkan kerugian yang besar kepada mangsa, tidak banyak laporan polis dibuat kerana mangsa malu dan masih berharap untuk mendapatkan wang seperti dijanjikan penganjur skim.

“Sampai bila kerajaan hendak menunggu untuk mewujudkan satu mekanisme secara menyeluruh kerana setiap hari pengguna terdedah kepada skim penipuan yang menggunakan pelbagai modus operandi.

“Selain itu, masyarakat juga perlu berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan membuang sikap tamak, sebaliknya mewujudkan zon penampan dalam diri masing-masing dan sentiasa berkata `tidak’ dengan sebarang tawaran yang memberikan habuan secara mudah,” katanya kepada BH, semalam.

Berikutan peningkatan kes penipuan yang diterima PPIM, sejak setahun lalu, persatuan itu membangunkan laman forumsemak.blogspot.com untuk berkongsi maklumat berkaitan kegiatan penipuan bagi mengelak lebih ramai pengguna terus tertipu.

Kumpul aduan

Blog itu juga mengumpul aduan pengguna mengenai segala penipuan termasuk membabitkan pelaburan, syarikat jualan langsung dan perniagaan atas talian.

Terbaru blog itu memaparkan penipuan satu sindiket yang mengguna nama yayasan diraja negara jiran./BHarian