Showing posts with label SKMM. Show all posts
Showing posts with label SKMM. Show all posts

Friday, July 26, 2013

SYIAH: SKMM AKAN BERTINDAK JIKA ADA LAPORAN

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia  bertindak jika ada laporan berkaitan laman sosial di internet yang didapati menyebarkan ajaran Syiah.
 
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana laman sosial atau web yang menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan amalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah umat Islam di negara ini.

"Oleh kerana sejak dulu kita di sini berpegang pada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ajaran yang selain daripada itu tidak sepatutnya disebarkan," katanya.

Jailani berkata, jika pengguna mendapati ada elemen bahaya dalam web atau laman sosial itu, lebih baik laporkan terus kepada polis.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pula lebih arif untuk mengenal pasti kandungan laman web atau laman sosial yang disebarkan itu," katanya.

Menurut Jailani, SKMM akan campur tangan jika ada unsur sensitif yang tidak sesuai disebarkan di negara ini.

"Kalau ada benda (maklumat) macam itu, kita akan buang atau ambil tindakan sesuai ikut undang-undang," katanya.

Sinar Harian difahamkan, SKMM masih belum menerima laporan mengenai 200 laman Facebook yang menyebarkan ajaran Syiah seperti yang didakwa.

Pada 5 Julai lalu, satu laporan polis dibuat  di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berhubung penyebaran fahaman Syiah di Facebook.

Ketua Unit Kajian Syiah Isma, Mohamad Ismail mendakwa terdapat lebih 200 akaun mengenai Syiah di Malaysia dikenal pasti kian giat menjalankan aktiviti menyebarkan maklumat berkaitan fahaman itu kepada masyarakat umum.

 “Antaranya Al-Hadhari, Al-Jafari, Al-Mahdi. Terdapat juga satu blog bernama kamilzuhairi.blogspot.com,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berhubung fahaman seumpama itu, namun bersedia untuk menyalurkan maklumat dikehendaki polis atau Jakim.

“Setakat ini tindakan hanya boleh diambil polis, kita cuma salurkan maklumat mengenai pemilik akaun, kesan kegiatan akaun dan berurusan dengan Facebook untuk minta akaun diminta itu dipadam.

“Pihak kami hanya bantu dari segi teknikal, sebarang tindakan dilakukan pihak berkuasa,” katanya. –Sinar Harian

Friday, June 7, 2013

UNDANG-UNDANG INTERNET, SKMM DIGESA KAJI PENGGUNAAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengkaji aspek penggunaan internet di negara ini secara holistik, termasuk keperluan dan kesesuaian mewujudkan undang-undang tertentu untuk mengawalnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu akan diteliti secara rasional, tidak terburu-buru tanpa membabitkan tempoh masa, dan bukan berdasarkan pertimbangan atau perspektif politik.

Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu sensitif dengan segelintir kandungan online berbaur politik yang melakukan penyalahgunaan atas tujuan tertentu, sebaliknya perlu melihat kegunaan internet secara menyeluruh, termasuk untuk kepentingan perniagaan, mempromosi negara dan perkongsian maklumat serta pendapat dalam pelbagai bidang.

Kawal internet
Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata, kajian SKMM juga akan mengambil kira langkah negara lain seperti Australia dan United Kingdom yang walaupun mengamalkan dasar liberal, tetap melaksanakan inisiatif kawalan terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada pornografi serta mengelak ancaman pengganas.

“Kita akan pantau perkara ini. Ada sesetengah perkara itu tidak perlu kita buat undang-undang seperti di Singapura. Undang-undang yang ada sudah memadai... boleh gunakan akta sedia ada, tidak semestinya kita kena buat satu peraturan perlesenan untuk tujuan itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Pantau sebelum contohi Singapura

Mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, yang menggesa kerajaan mencontohi langkah Singapura mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara ini, Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu terlebih dulu memantau keberkesanan tindakan Singapura itu, memerhati pelbagai aspek yang masih kabur berhubung pelaksanaan berkenaan, selain mengenal pasti sama ada ia dianggap suatu kaedah untuk menyekat kebebasan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan, paling penting dalam konteks ini ialah rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri, lebih bertanggungjawab dan bijak dalam memanfaatkan kemudahan internet, termasuk tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam, atau terperdaya dengan pembohongan.  –Berita Harian