Tuesday, June 26, 2012

RAFIZI LETAK JAWATAN BUKAN KEJUTAN, AKAN LEBIH MANTAPKAN PARTI - ZURAIDA

PETALING JAYA: Pengumuman peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor oleh Rafizi Ramli, pada Khamis merupakan salah satu strategi untuk memantapkan jentera parti.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, pengumuman yang dibuat Rafizi juga bukan satu kejutan dalam PKR kerana kebanyakan pimpinan tertinggi parti telah mengetahui hasrat Rafizi untuk melepaskan jawatan yang disandang sejak 2009.

"Sebenarnya beliau sudah lama 'bersuara' sebab mahu beri tumpuan dalam parti sepenuh masa. Saya dan pimpinan tertinggi tak terkejut.

"Tiada kaitan dengan dakwaan pergolakan dalam parti, malah tindakan beliau itu sebenarnya akan lebih memantapkan parti dan jenteranya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut Zuraida, Rafizi yang memegang jawatan pengarah strategi PKR perlu meluangkan lebih banyak masa kerana beliau dijangka akan bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Malah, Ahli Parlimen Ampang itu juga menegaskan sudah tiba masanya untuk Rafizi 'turun padang' bagi membina dan memantapkan imej beliau sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). –Mstar Online

No comments:

Post a Comment