Monday, December 9, 2013

JAMBATAN PERSAHABATAN DI SEMPADAN MALAYSIA - BRUNEI

LIMBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Ahad merasmikan Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei di sini.

Upacara bersejarah dan membuktikan ikatan erat hubungan dua negara yang sudah lama terjalin diadakan di atas jambatan persahabatan itu di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei.

Ia dimulakan dengan pemimpin kedua-dua negara menandatangani plak diikuti memotong reben sebagai simbolik perasmian.

Majlis ini merupakan sebahagian aturcara Najib di Brunei hari ini sempena Rundingan Tahunan Pemimpin ke-17 bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Fadillah berkata jambatan itu disiapkan mengikut perancangan yang bermula dari peringkat perbincangan sehinggalah menjadi realiti.

"Dengan pembukaan Jambatan Persahabatan ini akan memudahkan perjalanan di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei, seterusnya merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei," katanya dalam perutusan sekalung budi buku Majlis Perasmian Jambatan Persahabatan Di Antara Negara Brunei dan Malaysia.

Beliau berharap kerjasama dua hala antara kedua-dua negara akan dapat diteruskan pada masa akan datang demi merapatkan ukhuwah dan hubungan persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

Jambatan persahabatan ini berukuran 189 meter panjang dan 14 meter lebar dengan kos pembinaan berjumlah RM20.8 juta dibina merentasi Sungai Pandaruan.

Projek pembinaan ini dikendalikan melalui perundingan Joint Project Team (JPT) dan Bridge Management Committee (BMC), melibatkan lapan kali mesyuarat JPT serta tiga kali mesyuarat BMC yang diadakan di Kuala Lumpur dan Brunei.

Upacara perasmian tapak diadakan pada 13 September 2011, diikuti kerja pembinaan dimulakan pada Mei 2012 dan siap pada November 2013. - BERNAMA

Sumber: mStar Online

No comments:

Post a Comment