Showing posts with label jambatan. Show all posts
Showing posts with label jambatan. Show all posts

Tuesday, December 10, 2013

JAMBATAN PERSAHABATAN LAMBANG KEAKRABAN MALAYSIA-BRUNEI

Jambatan Persahabatan lambang keakrabanBANDAR SERI BEGAWAN - Pembinaan Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei Darussalam melambangkan keakraban hubungan istimewa Malaysia-Brunei Darussalam yang sedia terjalin selama ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Perdana menteri berkata pembinaan jambatan bernilai RM21.9 juta itu juga akan terus memperkukuhkan lagi pertalian silaturahim kedua-dua negara pada masa akan datang.
  
"Saya ingin merakamkan rasa kegembiraan pihak Malaysia atas pelancaran Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei Darussalam hari ini. Ini merupakan jambatan pertama (dibina bersama antara kedua-dua negara), juga merupakan cerminan kepada hubungan antara kedua-dua negara yang begitu akrab sekali," katanya.
  
Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama-sama merasmikan pembukaan jambatan berkenaan di Kampung Ujong Jalan, Temburong, dekat sini hari ini.
  
Jambatan yang menghubungkan Bahagian Limbang, Sarawak dan Daerah Temburong, Brunei Darussalam itu mula dibina pada Mei 2012 dan siap pada akhir Oktober 2013.

Najib berkata jambatan itu yang dibina selepas kedua-dua negara bersetuju untuk berkongsi kos secara saksama akan memberi keselesaan kepada penduduk tempatan di daerah Temburong, Brunei dan penduduk Bahagian Limbang di Sarawak yang berulang-alik melaksanakan urusan harian.
  
Katanya jika sebelum ini, penduduk tempatan di kedua-dua kawasan biasanya memerlukan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk menyeberangi Sungai Pandaruan yang selebar 60 meter menggunakan feri namun dengan kewujudan jambatan mereka cuma mengambil masa beberapa minit sahaja.
  
Perdana menteri berkata pembinaan jambatan berkenaan juga akan membawa kesan jangka panjang daripada penjanaan perdagangan rentas sempadan yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitar terutama antara Bandar Limbang, Sarawak dan Daerah Temburong di Brunei.
  
Katanya jambatan itu juga memberi manfaat kepada industri pelancongan kedua-dua negara kerana setiap tahun dianggarkan lebih 100,000 rakyat Brunei melawat Sabah dan Sarawak.
 
"Malaysia amat gembira dengan perkembangan hubungan dua hala kini, yang semakin dilihat bergerak positif ke hadapan dalam semua aspek. Jambatan ini, selain daripada menghubungkan rakyat kedua-dua negara, (juga) menterjemahkan lagi keakraban dan kemesraan hubungan dua hala yang dilihat semakin lestari selepas pemeteraian Pertukaran Surat (EOL) pada Mac 2009," katanya.

Perdana menteri berkata jambatan itu merupakan antara komponen penting dalam lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah melalui Brunei dan dengan siapnya kemudahan itu, tiada lagi penggunaan feri di sepanjang laluan lebuh raya Pan Borneo.
  
Najib berkata dalam konteks kesalinghubungan Asean pula, Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei Darussalam itu selaras dengan semangat merealisasikan visi Komuniti Asean pada tahun 2015.
  
Berhubung perjalanan rakyat kedua-dua negara yang sebelum ini memerlukan pasport mereka dicop lapan kali oleh pihak imigresen kedua-dua negara, Najib berkata perkara itu telah diselesaikan sejak Oktober tahun ini dengan pasport rakyat kedua-dua negara cuma dicop sekali sepanjang perjalanan mereka.
  
Mengulas lanjut keakraban Malaysia-Brunei kini, Najib berkata: "Sangat baik, sangat selesa. Kedua-dua kerajaan akan memantapkan lagi hubungan ini sebagaimana yang kita persetujui prinsip-prinsipnya berasaskan EOL yang telah dimeterai antara kedua-dua belah pihak. Sekarang ini kita sedang melaksanakan peruntukan-peruntukan tertentu (dalam EOL itu)". - Bernama

Sumber: Sinar Harian

Monday, December 9, 2013

JAMBATAN PERSAHABATAN DI SEMPADAN MALAYSIA - BRUNEI

LIMBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Ahad merasmikan Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei di sini.

Upacara bersejarah dan membuktikan ikatan erat hubungan dua negara yang sudah lama terjalin diadakan di atas jambatan persahabatan itu di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei.

Ia dimulakan dengan pemimpin kedua-dua negara menandatangani plak diikuti memotong reben sebagai simbolik perasmian.

Majlis ini merupakan sebahagian aturcara Najib di Brunei hari ini sempena Rundingan Tahunan Pemimpin ke-17 bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Fadillah berkata jambatan itu disiapkan mengikut perancangan yang bermula dari peringkat perbincangan sehinggalah menjadi realiti.

"Dengan pembukaan Jambatan Persahabatan ini akan memudahkan perjalanan di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei, seterusnya merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei," katanya dalam perutusan sekalung budi buku Majlis Perasmian Jambatan Persahabatan Di Antara Negara Brunei dan Malaysia.

Beliau berharap kerjasama dua hala antara kedua-dua negara akan dapat diteruskan pada masa akan datang demi merapatkan ukhuwah dan hubungan persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

Jambatan persahabatan ini berukuran 189 meter panjang dan 14 meter lebar dengan kos pembinaan berjumlah RM20.8 juta dibina merentasi Sungai Pandaruan.

Projek pembinaan ini dikendalikan melalui perundingan Joint Project Team (JPT) dan Bridge Management Committee (BMC), melibatkan lapan kali mesyuarat JPT serta tiga kali mesyuarat BMC yang diadakan di Kuala Lumpur dan Brunei.

Upacara perasmian tapak diadakan pada 13 September 2011, diikuti kerja pembinaan dimulakan pada Mei 2012 dan siap pada November 2013. - BERNAMA

Sumber: mStar Online