Tuesday, April 23, 2013

PRU13:  WUJUD JURANG BESAR ANTARA PARTI PEMBANGKANG

SEMPORNA - Kekalutan dalam kalangan pembangkang terutamanya bagi merebut kerusi pilihan raya umum akan datang, membuktikan wujudnya jurang besar kesepakatan parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan gabungan cuba dibentuk Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berbanding pembangkang, BN terbukti mampu mengatasi sebarang masalah secara baik menerusi permuafakatan parti-parti komponennya sekali gus membantu perjalanan kempen berjalan lancar.

"Memanglah apabila diumumkan calon, ada yang tidak puas hati. Tetapi melalui permuafakatan, kini segalanya selesai sehinggakan parti-parti kecil seperti PPP juga diberi peluang bertanding di beberapa kerusi menyebabkan kami dapat terus menumpukan perhatian kepada kempen.

"Berbeza dengan pembangkang, mereka gagal mencari kata putus menyebabkan Pas, DAP, PKR dan parti-parti lain terutama di Sabah bertembung sesama sendiri. Itu belum lagi diungkit pertelagahan di negeri yang ditadbir sebelum ini seperti di Kedah melibatkan DAP dan Pas," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meluangkan masa lebih lima jam berkempen serta melawat lima pusat mengundi di sekitar Pulau Bum Bum yang mempunyai kira-kira 30,000 penduduk di sini hari ini.

Mengulas keyakinan pembangkang untuk menakluk Sabah, Shafie sambil tersenyum meminta rakyat untuk mengingati semula ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu, Anwar melalui siri ceramahnya penuh yakin mengatakan pembangkang akan memerintah Sarawak. Namun keputusan pengundian menunjukkan PKR serta rakan sekutu, Pas tidak menang satu kerusi pun.

"Nilailah seseorang menerusi tindakan dan bukan ucapannya semata-mata. Di Sabah ini mereka sudahlah tiada 'gergasi' yang boleh diharapkan, bergaduh pula untuk merebut kerusi seperti di Batu Sapi di mana Pas bertanding di kawasan yang majoriti pengundinya adalah masyarakat Cina.

"Bukan itu saja, di Kota Kinabalu yang dikatakan kubu kuat mereka, ahli DAP bercakaran sesama sendiri menyebabkan parti itu retak. Kami yakin bukan saja Kota Kinabalu, malah beberapa lagi kubu pembangkang dapat ditawan sekali gus membawa kejayaan cemerlang kepada BN pada 5 Mei nanti," katanya. -UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment