Thursday, March 7, 2013


PENCEROBOHAN LAHAD DATU: BUKAN SEMUA TEMPAT DI SABAH TAK SELAMAT

PUTRAJAYA: Insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Menurutnya, sebanyak 24 pakej pelancongan dari Filipina membatalkan kunjungan ke Malaysia, manakala tiga pelancong dari United Kingdom (UK) yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah menukar haluan masing-masing ke Pulau Langkawi, Kedah.

“Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai tidak semua tempat di Sabah tidak selamat, cuma jangan pergi ke Lahad Datu dan Semporna atas faktor keselamatan. Sebuah hotel di Pulau Penyu, Sandakan juga ditutup sementara waktu.”

 “Anggota tentera turut berkawal di kawasan pulau bagi memastikan tahap keselamatan kawasan berkenaan. Kehadiran tentera bukan selepas kejadian di Lahad Datu, tetapi mereka berkawal di kawasan pulau sebelum insiden pencerobohan berlaku,” katanya pada sidang media pelancaran Festival Kasut Antarabangsa Malaysia (MISF) 2013 di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat perkembangan terkini daripada Lembaga Pelancongan Sabah mengenai kejadian berkenaan serta kesannya terhadap industri pelancongan khususnya di negeri itu.

“Maklumat terkini akan disampaikan kepada kita setiap 12 jam. Kita mahu memastikan keselamatan pelancong sepanjang berkunjung ke negara ini. “Saya percaya insiden ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. – HMetro

No comments:

Post a Comment