Tuesday, June 11, 2013

PENGANALISIS: UMNO AKAN MUNDUR JIKA LAKSANA SISTEM KUOTA PRESIDEN, TIMBALAN

SHAH ALAM – Penganalisis berpendapat, Umno akan kembali mundur sekiranya sistem kouta diperkenalkan semula dalam pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sistem pemilihan sedia ada untuk jawatan tertinggi itu sudah memadai dan lebih baik berbanding sistem kuota yang diamalkan sebelum ini.

Jelasnya sekiranya sistem itu dilaksanakan semula, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti tidak demokratik kerana menyekat kebebasan ahlinya bertanding dan memilih pemimpin mereka.

"Saya fikir, kalau diperkenalkan balik sistem kuota, Umno jadi tidak demokratik.

"Dengan sebab itu, kalau kita perkenalkan balik kuota dan sebagainya, maka itu seolah-olah mengembalikan Umno seperti zaman dulu yang mana ada seolah-olah ada sekatan untuk mana-mana pihak untuk bertanding dalam parti.

"Sepatutnya sebagai parti demokratik, Umno tidak harus membiarkan parti itu dilihat tidak demokratik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mengesyorkan supaya sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno diperkenalkan semula pada pemilihan parti itu pada masa akan datang.
 
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, pelaksanaan sistem kuota dilihat tidak wajar dan kena pada tempatnya kerana ia menghalang ruang demokrasi dalam Umno.

Katanya, pembaharuan dan transformasi diuar-uarkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa tahun lalu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian dan andaian yang tidak berasas.

“Sistem kuota itu yang menghalang orang lain bertanding dan ia tidak wajar diteruskan.

“...ia sepatutnya beri ruang demokrasi dan hak kepada ahli peringkat bahagian untuk memilih pemimpin mereka.

“Jika mengikut tradisi Umno sebelum ini, ia hanya melibatkan perwakilan di lebih 200 bahagaian sahaja,” katanya.

Shaharuddin menegaskan, sistem baru itu mampu menarik orang Umno dari pelbagai peringkat untuk bertanding, sekaligus menafikan dakwaan bahawa Umno dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

Katanya lagi, usaha mendemokrasikan Umno tidak seharusnya dihantui dengan sistem kouta yang jauh kebelakang beberapa tahun lalu.

“Ia tidak kira sesiapa pun dan terbuka kepada setiap ahli parti untuk bertanding dalam Umno.


“Jika sistem kuota diamalkan lagi, hilanglah ruang demokrasi, buat apa halang konsep demokrasi,” katanya.-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment