Friday, May 3, 2013

PRU13: TOLAK PEMBANGKANG, ELAK MALAPETAKA

KUALA LUMPUR - Para pengundi diingatkan supaya menjauhkan negara daripada malapetaka dengan tidak memilih pakatan pembangkang yang sehingga kini masih belum dapat memuktamadkan calon Perdana Menteri mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan calon pemimpin untuk mentadbir negara merupakan perkara penting pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi menentukan hala tuju kerajaan.

Kata beliau, pakatan pembangkang masih tidak mempunyai calon tetap Perdana Menteri kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berminat untuk dipilih ke jawatan itu, sementara Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengimpikan jawatan tersebut sejak sekian lama.

"Tetapi PKR merupakan parti yang paling lemah. Adakah Pas setuju (jika Anwar dilantik). Pas sehingga kini masih belum memberikan kata putus.

"Kemudian mereka ada orang tua, (Penasihat DAP), Lim Kit Siang yang secara realistik tidak boleh menjadi Perdana Menteri dan DAP juga sering memainkan sentimen perkauman yang berbahaya," katanya.

Najib berkata, bukti kemantapan pemerintahan BN boleh disaksikan dengan rekod kemajuan negara sepanjang tempoh empat tahun sejak beliau menerajui kerajaan.

"Jika anda sukakan program transformasi BN, saya dengan rendah diri meminta anda semua untuk memberikan mandat kepada BN bagi tempoh lima tahun lagi,'' katanya.

"Ini kali pertama saya meminta mandat anda semua, bukan kerana BN berhak mendapat mandat kerana kami telah mentadbir negara sejak merdeka atau kerana saya memintanya (mandat), tetapi berdasarkan rekod kami selama ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment