Tuesday, November 19, 2013

'PETRONAS TIDAK PINGGIR MELAYU' - WAKIL PETRONAS

Bukan mudah untuk menjadi syarikat yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, tetapi dalam masa sama perlu menjaga status sebagai antara syarikat antarabangsa terbesar di dunia.

Dilema itu dihadapi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), syarikat petroleum negara ditubuhkan hampir 40 tahun lalu yang kini mencapai kejayaan luar biasa sehingga tersenarai dalam kumpulan syarikat terbesar Fortune Global 500.

Disebabkan kedudukan unik itu, Petronas tidak pernah lekang dikaitkan dengan pelbagai isu dan kontroversi, dengan syarikat itu baru-baru ini dilabelkan sebagai kacang lupakan kulit selepas didakwa mengamalkan dasar baharu yang meminggirkan syarikat Bumiputera dan Melayu dalam pemberian kontraknya.

Sehubungan itu, pertemuan wakil Petronas dengan Sinar Harian diatur bagi menjelaskan dakwaan pelbagai pihak terhadap syarikat itu, terutama peranannya dalam membantu usahawan minyak dan gas Bumiputera dan Melayu.

Ternyata, syarikat itu kecewa dengan tohmahan demi tohmahan yang diterima mereka.

“Bukan kami mahu kata Petronas tak perlu perbaiki apa-apa, memang masih ada ruang penambahbaikan.

“Kami sedia terima kritikan membina, bukan hentaman,” kata pegawai kanan Petronas yang enggan namanya didedahkan.

“Selama ini kami bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan dalam industri ini untuk sentiasa menambah baik cara, prosedur dan dasar kami,” tambahnya.

Beliau adalah antara individu bertanggungjawab untuk Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas serta pemilihan kontraktor.

Memang pemilihan kontraktor perlu ketat

Menjelaskan dakwaan dilemparkan kepada Petronas, beliau berkata Petronas masih mengguna pakai sistem sama seperti dahulu, di mana rejim pemilihan vendor dan pengagihan kontrak berlandaskan kepada prinsip Dasar Ekonomi Baru.

Beliau bagaimanapun menegaskan tapisan Petronas bagi VDP dan pemberian kontrak perlu mengikuti kriteria ditetapkan, terutamanya aspek keselamatan dan kesihatan yang amat penting dalam industri minyak dan gas, selari dengan kedudukan syarikat itu sebagai antara syarikat terbesar dunia.

“Kita bangunkan syarikat Bumiputera melalui VDP, dan selepas tempoh pembangunan mereka akan dilepaskan, atau kita panggil sebagai graduasi.

"Dalam tempoh VDP, kita bagi kontrak kepada mereka secara eksklusif dengan harapan keuntungan yang mereka peroleh akan digunakan untuk pelaburan semula demi pembangunan syarikat supaya lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menerangkan bagaimana Petronas melindungi peserta VDP syarikat itu.

“Kalau syarikat di bawah VDP kita bekalkan barang A, kita tak akan bagi kontrak itu kepada syarikat lain, melainkan bila sebut harga VDP tinggi dan tidak berpatutan. Tetapi VDP mesti ada tempoh akhir, tak boleh selama-lamanya kerana mereka akan jadi terlalu selesa,” katanya.

Menurutnya, selepas tempoh VDP berakhir, syarikat-syarikat itu perlu bersaing di pasaran terbuka dengan syarikat lain yang berdaftar dengan Petronas, rata-rata terdiri daripada syarikat milik Bumiputera.

“Tak timbul isu pinggirkan Melayu kerana lebih 80 peratus daripada syarikat vendor Petronas memang milik Bumiputera, jadi mereka bersaing sesama mereka. Inilah yang kita mahu, meritokrasi sesama Bumiputera,” katanya.

Menurutnya, ada segelintir vendor gagal mendapatkan kontrak selepas graduasi kerana meletakkan harga yang kurang kompetitif.

Tak timbul isu berat sebelah

Beliau menjelaskan, tidak timbul soal berat sebelah dalam pemberian kontrak kerana proses yang dilalui sangat ketat.

“Semua bidaan yang masuk, semasa proses pemilihan tender, kita hanya guna kod seperti A,B,C dan D untuk namakan syarikat. Yang memilih tender itu hanya melihat kepada keupayaan teknikal syarikat, bukan siapa pemiliknya.

“Selepas pembida dipilih mengikut keupayaan teknikal, kita akan serahkan pula kepada pasukan penilaian lain yang akan menilai bidaan mengikut sebut harga yang ditawarkan. Ini kerana bagi Petronas, keupayaan teknikal adalah asas utama, kita bukan semata-mata cari sebut harga termurah,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi beberapa dokumen membuktikan syarikat VDP Petronas telah mencapai perolehan dan keuntungan bersih yang lebih daripada memuaskan di bawah program itu.

Mahu projek tak sepadan kelayakan

Menyentuh isu syarat ditetapkan Petronas bagi syarikat Bumiputera dianggap tidak munasabah, beliau berkata isu itu timbul kerana ada syarikat yang ingin mendapatkan kontrak bagi projek besar, tidak sepadan dengan kelayakan dan pengalaman mereka.

“Ada yang datang dan minta kita kurangkan tahap kelayakan untuk tender, sedangkan mereka memang tak penuhi kelayakan sebab projek yang mereka mahu lebih kompleks dan besar.

“Mereka sepatutnya membida projek yang sesuai dengan kapasiti mereka,” katanya.

Katanya lagi, ada juga sesetengah vendor meminta untuk menyambung tempoh VDP bagi meneroka atau memasuki bidang baru.

“Kita cakap, bagilah peluang kepada yang lain pula, sebab ramai lagi yang perlu dibimbing untuk berjaya di bawah skim ini. Sepatutnya yang sudah maju perlu membimbing mereka yang baru,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan, syarikat di bawah VDP Petronas telah menikmati kontrak bernilai lebih dari RM7.5 bilion sejak program itu dimulakan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment