Wednesday, August 8, 2012

PENGGUNA, PMBOA TAK SETUJU TAMBANG BAS NAIK

Kuala Lumpur: Pengguna pengangkutan awam tidak bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) mahu tambang bas ekspres dan henti-henti dinaikkan.

PMBOA dalam memorandumnya kepada Kementerian Kewangan baru-baru ini mencadangkan kenaikan 30 peratus di Semenanjung dan 40 peratus di Sabah dan Sarawak.

Cadangan keterlaluan

Pengguna menyifatkan cadangan itu keterlaluan, sekalipun pengusaha bas mendakwa mengalami kenaikan kos operasi sejak empat tahun lalu.

Pesara kerajaan, M Ramanathan, 59, berkata kenaikan sehingga 40 peratus akan membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Saya tak setuju kerana kenaikan 30 peratus (di Semenanjung) diminta terlalu tinggi. Lagipun pengangkutan awam adalah satu keperluan asas”, katanya ketika ditemui di Hentian Bas Jalan Pekeliling, semalam.

Ramanathan dalam perjalanan ke Mentakab, Pahang, ditemani isterinya, C Selvarani yang turut tidak bersetuju dengan cadangan PMBOA.

Bebankan pelajar

Pengguna pengangkutan awam, Wan Alfi Rahmie Wan Makazan, 19, berkata kenaikan itu akan membebankan golongan pelajar sepertinya yang bergantung kepada bas henti-henti untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

“Tak adil macam ini. Kerajaan kena kaji betul-betul, kalau nak naik tambang sekalipun, jangan sampai 30 peratus, kata pelajar UiTM Jengka, Pahang. “

Kakitangan swasta, Soo Guen Eng, 44, berkata kenaikan tambang itu boleh dibuat secara munasabah dan bukannya tergesa-gesa bagi mengelakkan rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kos hidup sekarang sudah tinggi jangan ditambah beban rakyat. Kalau mahu kaji, kena buat ikut tahun dan bukan tergesa-gesa. Kalau kaji setiap dua tahun pun boleh tetapi kalau minyak turun tambang juga perlu turun, “ katanya mengulas cadangan PMBOA supaya kerajaan merangka formula kenaikan tambang automatik setiap dua tahun sekali.

No comments:

Post a Comment