Thursday, June 6, 2013

RAKYAT WAJIB BANGKIT PERTAHAN INSTITUSI RAJA - MUFTI

KUALA LUMPUR - Seluruh rakyat khususnya orang Melayu digesa bangkit mempertahankan institusi raja yang kini berdepan ancaman daripada kelompok tertentu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam sendiri mengarahkan setiap umatnya mentaati raja dan adalah berdosa jika rakyat bertindak menderhaka termasuk menghasut orang ramai bangkit mengancam institusi raja.

"Apabila raja diancam, umat Islam wajib berjihad mempertahankannya apatah lagi dalam situasi di Malaysia," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Islam dan Raja' pada Seminar Institusi Raja di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ketika sesi soal jawab memberitahu, adalah tidak mustahil untuk Malaysia bertukar menjadi negara republik.

Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya mengambil contoh apa yang berlaku di Iran, Mesir dan Indonesia sebagai teladan tentang bagaimana negara tersebut bertukar daripada sistem beraja ke republik. – BERNAMA/Utusan Online

No comments:

Post a Comment