Thursday, December 26, 2013

PPIM SOKONG TERUSKAN REBAT TOL

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong cadangan agar pemberian 20 peratus rebat tol melalui kad Touch ‘n Go kepada pengguna disambung untuk tahun hadapan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, ia sebagai satu faedah meringankan sedikit bebanan perlu ditanggung pengguna berikutan kenaikan kadar tol berkuat kuasa 2014.

Menurutnya, sememangnya kadar kenaikan tol menambah bebanan pengguna, tetapi dengan adanya rebat ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan perbelanjaan mereka.

“Daripada tidak ada, lebih baik ada dan lagi baik diteruskan. Kerana rebat tersebut boleh digunakan semula ketika penggunaan harian di lebuh raya.

“Selain itu, untuk memberikan lebih keadilan, syarikat konsesi digesa memasukkan rebat secara automatik ke akaun pengguna tanpa perlu menebusnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, konsesi lebuh raya juga di saran meningkatkan jumlah rebat berdasarkan kadar tol dikenakan.

“Sekiranya insentif ini diberhentikan pemberian, pastinya mendatangkan ketidakadilan kepada pengguna, sedangkan konsesi terus mendapat keuntungan.

“Kepada pengguna yang setia juga perlunya untuk mereka diberi rebat kesetiaan agar menunjukkan sedikit tanda penghargaan,” katanya.

Tambahnya, kegunaan kad juga boleh diperluaskan melalui pemberian diskaun untuk sebarang kegunaan dalam pembelian produk atau perkhidmatan.

“Seperti kad keahlian yang digunakan sesetengah masyarakat kini dalam urusan jual beli untuk mendapatkan mata ganjaran, pastinya ia boleh diikuti Touch ‘n Go pula,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


No comments:

Post a Comment