Wednesday, September 4, 2013

KENAIKAN HARGA MINYAK: TIADA ALASAN NAIK HARGA BARANG
KUALA LUMPUR - Para peniaga tidak mempunyai alasan kukuh menaikkan harga barangan sesuka hati berikutan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel yang diumumkan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata hasil kajian yang dijalankan pihaknya mendapati kesan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter kepada peniaga dianggarkan hanya sekitar 0.1 peratus.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati kerana kenaikan itu juga dilihat tidak meletakkan mereka dalam keadaan terdesak untuk berbuat demikian.

"Bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang, seramai 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau telah mula dikerah.

"Mana-mana peniaga yang ingkar dan berdegil, kita akan hukum mereka dengan segala akta dan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 supaya tidak ada pihak yang berani menaikkan harga sesuka hati,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penilai Harta Intelek anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini hari sini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Hasan juga mengajak orang ramai untuk membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

"Pengguna perlu membuat aduan kepada kami dengan tepat supaya peniaga yang tamak dan ingkar dapat dikenakan tindakan sewajarnya

"Pengguna yang mahu membuat aduan tentang kenaikan harga barang dan makanan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 1800 88 6800,"ujarnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penjimatan RM3.3 bilion menerusi pengurangan subsidi bahan api akan digunakan semula untuk kepentingan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan projek-projek infrastruktur.

Beliau berkata, langkah itu merupakan pendekatan menyeluruh dalam mengurus defisit fiskal dan agihan subsidi kepada kumpulan sasar.

"Daripada memberi subsidi kepada mereka yang tidak memerlukan serta warga asing, kami memberikannya terus kepada mereka yang berhak ke atas subsidi itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, langkah itu merupakan proses untuk memperkukuh ekonomi yang bermatlamat memberikan impak positif kepada kebajikan rakyat dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar. –Utusan Online



No comments:

Post a Comment