Thursday, November 8, 2012

'USAH JADIKAN ISLAM ALAT POLITIK PARTI'

Dr  Raja Nazrin bertitah pada majlis Syarahan Perdana Budaya bertajuk Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa.PETALING JAYA: Agama Islam tidak seharusnya dijadikan alat untuk kepentingan politik di kalangan umat Islam, apatah lagi bukan Islam.

Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah, bertitah sensitiviti agama tidak mengizinkan perkara berkaitan agama diperdebat secara terbuka kerana yang kurang arif berkemungkinan terlajak kata sehingga memetik contoh yang jahil.

Titah baginda, perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka dibimbangi mencetuskan tragedi buruk dan bagi mengelaknya, perbuatan berkenaan perlu dihentikan segera.

“Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan semakin berani dilanggar, malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ucapan bernada mempersenda syariat, memperkecilkan akidah dan merendah-rendahkan Islam,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis Syarahan Perdana Budaya bertema ‘Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa’ anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di Damansara, di sini semalam. Hadir sama, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Belajar daripada sejarah

Raja Nazrin bertitah, perbuatan mempersenda Islam melanggar sempadan, adat resam beragama secara aman dan damai, sekali gus menghiris hati umat Islam.

Titah baginda, tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain dan tidak mencampuri agama lain wajib dipatuhi, selaras ayat tiga hingga enam Surah Al-Kafirun.

“Perkara berkaitan Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja dan kuasa Raja sebagai ketua agama wajib dihormati. 
Pintu istana sentiasa terbuka untuk membolehkan siapa juga berhasrat menyembahkan pandangan melalui perbincangan secara tertutup tanpa perlu diuar-uarkan,” titahnya.

Raja Nazrin juga mahu rakyat belajar daripada sejarah supaya peristiwa pahit di luar jangkaan pada 13 Mei iaitu susulan Pilihan Raya Umum pada 1969 tidak berulang. - BHarian

No comments:

Post a Comment