Thursday, March 28, 2013

PRU13: PERLU TAMPILKAN CALON MUDA

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menampilkan muka-muka baharu yang muda sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengisian calon-calon tersebut wajar bagi membantu Najib mengukuhkan sokongan dan pemerintahan Perdana Menteri itu kelak.

"Saya setuju dengan pandangan Tun Daim Zainuddin, mana yang lama sepatutnya diketepikan, beri peluang kepada muka-muka baharu pula," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Daim yang juga bekas Menteri Kewangan di era kepimpinan beliau bahawa Najib perlu membuat rombakan Kabinet dengan pengisian muka-muka baharu.

Daim dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini menegaskan, kebanyakan barisan Kabinet sekarang sudah melepasi waktu.

Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jangkaan itu berdasarkan ada negeri-negeri yang akan terbubar dengan sendirinya sekiranya pembubaran Parlimen tidak dibuat dalam masa terdekat ini.

"Sebenarnya tempoh 'edah' Parlimen pun semakin hampir, sudah tentu (pembubaran) tidak lama lagi," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang diasak dengan soalan yang sama, secara berseloroh berkata: "Kalau saya masih menjadi Perdana Menteri, tahun lalu sudah bubar (Parlimen). Tapi saya bukan Perdana Menteri lagi."

Mengulas mengenai hasrat Lim Kit Siang untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah, Dr. Mahathir menyifatkan Penasihat DAP itu sengaja mempertaruhkan nasibnya untuk menguji kekuatan BN di negeri itu.

Secara sinikal beliau berkata, Kit Siang sebenarnya mahu melihat pandangan dan penerimaan rakyat Johor terhadap parti itu.

"Dia (Kit Siang) pun tahu BN mempunyai penguasaan besar di Johor tetapi kalau dia rasa dia boleh diterima di sana biarlah.

"Kita lihat sahaja keputusan pilihan raya nanti," ujar beliau lagi.

Minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan telah memberi laluan kepada Kit Siang untuk bertanding kerusi parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment