Wednesday, November 21, 2012

RAKYAT MALAYSIA DESAK HENTIKAN KEKEJAMAN YAHUDI


Keprihatinan rakyat Malaysia terhadap kekejaman rejim Yahudi diterjemahkan di Dewan Rakyat semalam apabila usul tergempar dibentangkan bagi mengecam serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza. Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang dan Bebas sepakat menyokong usul tergempar itu kerana kekejaman rejim Yahudi adalah ulangan tindakan rakus, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Sehingga semalam, lebih 100 orang awam Palestin maut dan ribuan yang lain cedera. Kita akui perasaan rakyat Malaysia mewakili suara masyarakat dunia yang tidak mengizinkan kekejaman sesama manusia, apatah lagi terhadap kanak-kanak, warga tua dan wanita. Rakyat Malaysia pelbagai kaum berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak hukuman kolektif ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Sehubungan itu, Dewan Rakyat mengambil 10 ketetapan, termasuk menyampaikan resolusi itu kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Presiden Majlis Keselamatan PBB.
Usul yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan melalui gencatan senjata, di samping menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan Sesi Tergempar Khas di bawah Resolusi 377A(V), jika Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.

Malaysia juga menzahirkan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin merdeka dan berdaulat. Tiada siapa dapat menafikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin memang sudah dirancang sejak awal. Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah Barat dengan lantang menyuarakan sokongan terhadap Israel yang dianggap mempertahankan diri daripada ancaman ‘pengganas’ Arab.

Apa pun alasan yang diberikan, tindakan ketenteraan terhadap Gaza adalah perbuatan provokatif yang tidak menghormati hak asasi sejagat. Sokongan kuasa besar menjadikan Israel terus angkuh menafikan isu kemanusiaan dan Malaysia dengan rasa penuh tanggungjawab mengambil pendirian tegas supaya perbuatan ini dihentikan segera.

- Minda Pengarang BHarian

No comments:

Post a Comment