Wednesday, November 21, 2012

GESA SEGERA PASANG AES DI JALAN MASAI-KONGKONG

Sistem didik pemandu

PASIR GUDANG: Orang ramai mahu kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) segera dipasang di Jalan Masai-Kongkong di sini, berikutan kemalangan jalan raya sudah meragut sembilan nyawa di situ dalam tempoh dua bulan lalu.

Mereka yang ditemui sependapat, pemasangan AES dapat mengubah sikap pemandu dan penunggang untuk lebih bertanggungjawab ketika menggunakan laluan berkenaan.

Ini berikutan tindakan segelintir pemandu gemar memandu laju dan memotong di kawasan larangan di laluan sejauh kira-kira 50 kilometer itu dan sering menjadi punca nahas jalan raya hingga meragut mereka yang mematuhi peraturan jalan raya.

Malam kelmarin, lima mangsa termasuk bayi berusia setahun, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di laluan terbabit berhampiran Taman Zamrud, di sini, dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penunggang motosikal memotong pada garisan berkembar.
Bulan lalu, empat termasuk seorang gadis pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini, maut selepas dua motosikal bertembung di laluan sama, berpunca seorang penunggang cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Sikap pemandu jadi punca

Pengusaha putu bambu, Jamaluddin Nordin, 36, berkata keadaan jalan raya bukanlah faktor utama penyebab berlakunya kemalangan di laluan terbabit, sebaliknya sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan drastik bagi mengelak berlaku lagi nahas jalan raya di laluan ini kerana dalam tahun ini saja sudah tiga kemalangan berlaku,” katanya di sini. -BHarian

No comments:

Post a Comment