Monday, December 23, 2013

KERAJAAN PELAWA PIHAK LUAR DEDAH FUNGSI GST

GST
KUALA LUMPUR - Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, mempelawa pihak luar seperti agensi berkepentingan, badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan dan institusi pengajian tinggi, membantu dalam memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy berkata, kerjasama strategik tersebut mampu membantu kerajaan dalam menyebarkan kelebihan cukai tunggal itu dengan lebih meluas sehingga ke akar umbi dan terus menghentikan kekeliruan rakyat sebelum GST dilaksanakan.

"Keutamaan kami (kerajaan) sekarang adalah memastikan setiap golongan rakyat di bandar mahupun di luar bandar, termasuklah syarikat-syarikat agar memahami GST kerana cukai ini baik untuk negara dan juga rakyat.

"Kami telah menggunakan penyebaran maklumat menerusi media cetak dan elektronik, namun masa yang ada adalah terhad.

"Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu dengan kerajaan dalam menyebarkannya (maklumat) kerana cara ini lebih efektif," katanya selepas sesi Persidangan Meja Bulat: "GST, Apa Pandangan Belia" di sini pada Sabtu.

GST, yang juga dikenali sebagai cukai nilai tambah di sesetengah negara, adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas nilai ditambah di setiap peringkat pengagihan dan pengedaran.

Cukai itu akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang diguna pakai pada masa ini bagi tujuan menjadikan sistem percukaian negara lebih efektif, efisen, telus dan mesra perniagaan.

Kadar GST ditetapkan pada enam peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015, menghapuskan cukai berganda SST yang bernilai 16 peratus.

Subromaniam berkata kerajaan sentiasa mencari mekanisme yang baharu dalam usaha meluaskan pendedahan pengetahuan GST kepada masyarakat dan berharap lebih banyak kerjasama daripada pihak akademik untuk tampil ke hadapan.

"Kita telah merancang untuk melibatkan lebih ramai pelajar universiti serta persatuan berkaian belia," katanya sambil menambah bahawa lebih luas maklumat disebarkan, masalah seperti perniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang menyalahi undang-undang dapat diatasi.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar peniaga segera merebut peluang geran latihan bernilai RM100 juta yang diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2014 dengan menghantar pekerja mereka menjalani latihan GST pada tahun ini dan 2014.

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada ahli akedemik, NGO belia, para pemikir belia dan penggerak persatuan pelajar di universiti tempatan menghadiri persidangan meja bulat tersebut.

Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) untuk memberi penerangan yang jelas dan berkesan kepada generasi muda bagaimana GST akan dilaksanakan di Malaysia.


Sumber: Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment