Thursday, October 11, 2012

BAHASA 'ROJAK' DALAM FACEBOOK / TWITTER - TPM

SEREMBAN 10 Okt. - Penggunaan bahasa Melayu 'rojak' yang berleluasa dalam kalangan masyarakat akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, kecanggihan alat media dan komunikasi maklumat termasuklah khidmat pesanan ringkas (SMS), Twitter dan Facebook juga seringkali menyebabkan ejaan dan sebutan yang tidak betul digunakan.

"Penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan.

Muhyiddin berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku apabila masyarakat umum tidak fasih lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sama ada secara lisan mahupun tulisan.

"Ini merupakan satu petanda yang amat buruk kepada bangsa berkenaan yang sedang mengalami kehilangan bahasa," katanya.

Menurutnya, amat penting semua warganegara menerima hakikat bahawa bahasa Melayu bukan lagi milik orang Melayu sahaja, bahkan turut menjadi milik semua warganegara, tidak kira asal keturunannya.

"Kita mahu bahasa kebangsaan menjadi teras dalam kehidupan bernegara dan hendaklah kita bertanggungjawab menjadikannya wasilah perhubungan dalam semua bidang khususnya pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan perdagangan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, hasrat kerajaan untuk menyaksikan nisbah 0.01 peratus jumlah penerbitan setahun berbanding dengan jumlah rakyat juga masih jauh daripada sasaran.

"Pada tahun lalu kita hanya berjaya menerbitkan sekitar 17,000 judul buku sedangkan sasaran adalah 28,000 judul," katanya.

Mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Muhyiddin menjelaskan, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa antarabangsa.

"Buktinya bahasa Melayu telah diajar dan diteliti di lebih 100 buah universiti di Eropah, Australia, New Zealand dan Amerika Utara selain di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur," tegas beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh, program audit bahasa di semua jabatan dan agensi kerajaan akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

"Kita mahu bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi negara. Kita akan berikan penarafan bintang dalam penilaian yang dibuat kelak. Saya berharap program itu dapat dilaksanakan di sektor swasta," katanya. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment