Thursday, July 12, 2012

PM MANSUH AKTA HASUTAN, GUBAL AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan, dan digantikan dengan akta baru, yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

"Dengan adanya akta baharu ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Najib berkata, tanpa keseimbangan yang ideal, ia mungkin merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif atau membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremisme.

Katanya, keseimbangan itu perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada maklumat yang boleh menyebabkan limpahan maklumat, taraf pendidikan dan sosioekonomi yang semakin tinggi serta tahap harapan yang semakin meningkat.

"Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Beliau berkata, rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.

Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam Perlembagaan.

KD: Kerajaan yang prihatin akan sedia membuka ruang demokrasi yang matang kepada rakyatnya. Namun, setiap cadangan, pelaksanaan mahupun penggubalan pasti mempunyai kesan positif dan negatif. Jadi, penelitian dan pemantauan jangka masa panjang perlu dititik beratkan. 

No comments:

Post a Comment