Thursday, April 11, 2013

PRU13 BOLEH JADI PILIHAN RAYA PALING AMAN

PUTRAJAYA  - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi pilihan raya paling aman dan bersih sekiranya setiap parti politik dan penyokong mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof turut berharap kejadian merosakkan bahan kempen dan keganasan yang dilaporkan sejak kebelakangan ini tidak akan berterusan sehingga tempoh berkempen nanti.

"Saya tidak bersetuju bahawa PRU-13 akan menjadi antara yang paling kotor. Kita telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan selain mengatur persiapan dengan sangat teliti.

"Jika ia menjadi kotor di beberapa tempat maka ia bukan berpunca daripada SPR tetapi parti politik. Parti yang terlibat mesti menasihatkan penyokong mereka supaya jangan terlalu beremosi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR pada masa ini tidak berkuasa mengambil tindakan ke atas parti politik yang memasang bendera dan kain rentang di tempat awam kerana ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"SPR hanya boleh menguatkuasa undang-undang mulai tempoh berkempen iaitu dari 20 April hingga 4 Mei. SPR tidak boleh menjalankan penguatkuasaan di luar tempoh berkempen," jelas beliau.

Mengenai pemasangan pondok panas pula, Abdul Aziz berkata, SPR akan merobohkan sebarang pondok panas milik parti politik sekiranya didirikan pada hari mengundi iaitu 5 Mei ini.

"Parti politik boleh dirikan sebanyak mungkin pondok panas sebelum hari mengundi, tetapi ia tidak dibenarkan pada hari mengundi," katanya.

Abdul Aziz juga berkata, selain pemerhati tempatan, PRU-13 juga akan dipantau oleh pemerhati asing dari lima negara ASEAN selain Sekretariat ASEAN.

"Setiap negara ASEAN boleh menghantar sehingga tujuh pemerhati pada PRU-13 nanti," kata Abdul Aziz.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Aziz turut memberitahu, kerajaan sementara akan memutuskan sama ada menteri atau ketua setiausaha akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei pada 24 hingga 25 April ini.

Ditanya mengenai kemungkinan 6 Mei diisytiharkan sebagai cuti umum beliau berkata, ia bukan terletak di bawah bidang kuasa SPR sebaliknya, terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya.–Utusan Online

No comments:

Post a Comment