Thursday, April 11, 2013

PERKASA MINTA ANWAR IBRAHIM JELASKAN PUNCA KEKAYAAN BAPA

KOTA BHARU - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bagaimana bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman mendapat kekayaan yang luar biasa.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau mengenali Anwar dan keluarganya sejak tahun 70-an lagi dan mereka bukan daripada keluarga bangsawan atau kaya raya malah turut menghadapi kekangan kewangan.

Menurutnya, beliau juga pernah bersama Anwar dalam kem tahanan Kemunting pada 1974 sehingga 1976.

"Tetapi satu perkara terbuku di hati dan saya ingin meminta Anwar memperjelaskan bagaimana bapanya menimba kekayaan luar biasa sebab saya mengenali bapanya sekian lama kami bersahabat malah saya pernah pergi ke rumah mereka ketika itu.

"Yang saya tahu bapa Anwar bukan daripada kalangan bangsawan atau kaya raya, malah pada waktu itu mereka menghadapi kekangan kewangan tetapi selepas Anwar menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, bapanya juga menjadi kaya raya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, selepas Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, bapanya telah dilantik menjadi pengarah untuk beberapa buah syarikat dan memegang banyak saham.

Tambahnya, perubahan bapanya itu dapat dilihat dengan lebih ketara apabila beliau berpindah ke sebuah banglo besar di Kajang.

"Berdasarkan nostalgia silam, ketika bersama-sama berjuang kerana mahukan kepemimpinan bermoral dan berakhlak, saya meminta Anwar menjelaskan bagaimana kekayaan atau perubahan itu berlaku.

"Saya bukan menuduh atau membuat fitnah tetapi saya dan rakyat mahu tahu kerana beliau adalah seorang pemimpin yang disebut oleh pembangkang sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia," katanya.- Utusan Online

No comments:

Post a Comment