Tuesday, July 17, 2012

PELABUR RUNSING JIKA MASIH BELUM TETAP TARIKH PRU13

SHAH ALAM - Tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang masih lagi menjadi tanda tanya akan menyebabkan negara mungkin berhadapan dengan masalah ekonomi.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago berkata, ini kerana, pelabur dikatakan runsing untuk membuat pelaburan gara-gara khuatir jika kerajaan beralih kuasa.

“Apabila saya jumpa ahli perniagaan, rata-ratanya memberitahu mereka tidak boleh melabur kerana tarikh PRU13 belum ditentukan. Mereka takut menanggung risiko kerana jika kerajaan bertukar, maka dasar juga akan bertukar. Kemerosotan ekonomi dunia akan memberi implikasi kepada Malaysia. Jika tarikh sudah ditentukan, mereka boleh buat percaturan awal untuk melabur dan rakyat pula boleh teruskan kegiatan harian masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) pada tahun ini kerana ia merupakan masa paling sesuai.

Mengulas mengenai tarikh sesuai pilihan raya, Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang mencadangkan ia dijalankan pada November atau Disember tahun ini, iaitu selepas musim haji.

“Kita kena hormati umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji, tetapi apa yang paling penting ialah kebaikan kepada negara serta rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, sama ada mengadakan pilihan raya tahun ini atau hadapan, Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia untuk menghadapinya dan persediaan itu sudah hampir di peringkat akhir.

Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda turut mempersoalkan sebab tarikh PRU13 dilengah-lengahkan, seolah-olah mempunyai agenda tertentu.

“Apakah daftar pemilih sudah dibersihkan? Apakah ia dilengah-lengahkan disebabkan untuk memindahkan pemilih di kawasan sasaran yang boleh dimenangi Barisan Nasional (BN). Kita akan gunakan Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) versi 3.0 untuk memeriksa jumlah pengundi hantu dan daftar pemilih yang dipindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Beliau mendakwa, kenyataan Muhyiddin itu disifatkan sebagai retorik politik semata-mata dan jika pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini, PKR telah meminta Kerajaan Negeri supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) berasingan dengan Parlimen untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR.

KD: Semacam pelik pula tajuk laporan Sinar Harian ini. Betul ke pelabur yang runsing? Jika dibaca secara keseluruhan kenyataan tersebut, ia seakan menampakkan kerisauan pihak pembangkang, bukannya pelabur. Jika dilteliti, pihak kerajaan lebih santai dalam isu berkaitan tarikh pilihan raya. Sebaliknya, pihak pembangkang dilihat lebih tergesa-gesa. 

No comments:

Post a Comment