Wednesday, December 4, 2013

PR GESA SELANGOR SEMULA KENAIKAN GAJI ADUN
 
KUALA LUMPUR - Pimpinan pakatan pembangkang hari ini menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula kenaikan gaji wakil rakyat negeri itu yang diluluskan pada sidang Dun Selangor minggu lepas.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri khususnya Abdul Khalid perlu mengambil kira teguran daripada rakyat yang kurang senang dengan keputusan itu.

"Kita setuju (kenaikan gaji)... jumlah ini (kadar kenaikan gaji itu) boleh dikurangkan sebelum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Rabu lepas, Abdul Khalid mengumumkan kenaikan gaji antara 87 hingga 373 peratus membabitkan menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan anggota Adun Selangor berkuat kuasa 1 Januari ini.
 
Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, pada dasarnya barisan kepimpinan pakatan pembangkang bersetuju dengan kenaikan itu walaupun mendapat kecaman daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

"Secara terperincinya kita serah kepada menteri besar dan kerajaan Selangor mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan proses yang digunakan Kerajaan Selangor dalam menaikkan gaji dan elaun wakil rakyat di negeri itu.

"Kalau tidak, tak kan lah Anggota Parlimen Gombak Azmin Ali yang juga Adun negeri Selangor itu boleh membantah?

"Kalau prosesnya dibuat secara betul iaitu melalui jawatankuasa dewan atau 'the house committee' sudah tentu semua orang tahu," katanya pada sidang berita di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Mohd Azmin Ali, yang juga Adun Bukit Antarabangsa mahu kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan kenaikan itu.

Shahrir turut menempelak niat sebenar Abdul Khalid yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan menyokong sekiranya elaun ahli Parlimen turut dinaikkan.

"Saya persoalkan keikhlasan dia, soalnya jangan cuba menutup kesilapan sendiri... saya tak fikir ia (naik gaji dan elaun) merupakan proses biasa, berkemungkinan ia satu arahan," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment