Wednesday, December 4, 2013

TPP: STANDARD HALAL MALAYSIA AKAN TERJEJAS

Bila bercakap mengenai perjanjian antarabangsa, ramai antara kita akan berkata ‘Ah, tak ada kena mengena dengan aku’ atau ‘Itu orang buat bisnes juta-juta saja kena ambil tahu’.

Adakah pandangan begitu yang menyebabkan ramai tidak tahu mengenai satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) melibatkan Malaysia yang dikhuatiri akan menyebabkan keperluan kita untuk mendapatkan makanan halal, ‘diharamkan’ oleh negara luar?
TPP: Standard halal Malaysia akan terjejas
Bekalan makanan halal untuk rakyat Malaysia mungkin disekat negara luar.
Itulah dakwaan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia dan Kanada.
Menurut Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), standard halal Malaysia mungkin terpaksa digadaikan jika negara menandatangani TPP.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Menurut PPMM, standard halal Malaysia, iaitu antara paling tinggi di dunia, atau mungkin yang tertinggi, akan terjejas berdasarkan beberapa bab dalam rundingan TPP termasuk bab halangan teknikal dalam perdagangan, bab standard kebersihan, bab perkhidmatan dan lain-lain.

“Disebabkan teks rundingan TPP tidak didedahkan kepada umum, kita tidak pasti bab mana dalam TPP yang akan mengganggu standard tinggi halal di Malaysia.

“Tetapi laporan terbaru yang kami dapat menunjukkan TPP akan memberi kesan besar kepada dasar negara (termasuk undang-undang halal) melalui bab-bab tersebut,” menurut PPMM.

Menurut NGO itu, jika Malaysia tetap menandatangani TPP dan enggan menurunkan standard halalnya, Malaysia boleh disaman negara TPP lain dalam tribunal antarabangsa.

“Kalau Malaysia kalah dalam kes itu, negara yang memulakan saman boleh menaikkan cukai mereka ke atas barangan Malaysia yang ingin memasuki negara itu sehinggalah Malaysia mengubah undang-undang halal untuk memenuhi kemahuan TPP,” dakwa PPMM.

Bagi mengelakkan masalah itu berlaku, PPMM berkata satu-satunya pilihan yang ada untuk melindungi standard, peraturan, undang-undang dan dasar halal Malaysia sama ada yang semasa atau pada masa depan adalah dengan mengecualikan sama sekali isu halal daripada TPP.

“Jika AS mendakwa tidak ada mana-mana bahagian dalam TPP yang menghalang undang-undang halal, jadi mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk mengecualikan isu halal sama sekali kerana ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada eksport mereka,” menurut PPMM.

Wakil Perdagangan AS Michael Froman sebelum ini telah pun mengesahkan rundingan TPP kini berada pada peringkat akhir dan pemerhati menjangkakan mesyuarat menteri perdagangan dari semua negara TPP pada 7 Disember ini di Singapura akan menjadi lokasi di mana semua isu yang masih belum diselesaikan, termasuk pengecualian halal dalam TPP akan diputuskan.

“Kami menggesa Kabinet Malaysia untuk berkeras supaya halal dikeluarkan sama sekali daripada TPP kerana halal sebagai undang-undang Islam mesti menjadi garisan merah yang tidak boleh dilepasi dalam TPP,” menurut PPMM.

Seorang pakar undang-undang daripada NGO antarabangsa yang enggan dinamakan berkata, kebimbangan mengenai isu halal timbul apabila AS sebelum ini didakwa pernah mengadu mengenai standard halal tinggi Malaysia dan negara itu mungkin menggunakan TPP untuk menurunkan standard halal Malaysia.

“Contohnya pada 2011, Malaysia memperkenal Protokol Penghasilan Daging Halal dan AS mengadu protokol ini akan menyebabkan mereka perlu memiliki kemudahan kilang khusus untuk daging halal.

“AS mahu menggunakan satu kilang bagi penyediaan daging halal dan tidak halal. Mereka hanya mahu samak mesin yang digunakan untuk memproses daging tidak halal sebelum menggunakannya untuk memproses daging halal dan ini tidak dibenarkan oleh Malaysia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment