Wednesday, December 25, 2013

REBAT PERLU DITAMBAH SEIRING KENAIKAN KADAR TOL

SHAH ALAM – Pemberian rebat kepada pengguna Touch 'n Go perlu diteruskan bagi mengurangkan beban rakyat yang berdepan dengan kenaikan kadar tol.

Pensyarah di Jabatan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Nurulhuda Mohd Satar berkata, keistimewaan itu memberi banyak manfaat terutamanya kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

“Pemberian rebat merupakan mekanisme yang baik untuk membantu mengurangkan beban ditanggung rakyat. Ini kerana, pengguna dapat menjimatkan perbelanjaan tol sehingga 20 peratus.

“Bagi mereka yang berpendapatan rendah, sudah tentu penjimatan ini membantu kewangan mereka. Sekiranya diuar-uarkan dengan lebih meluas, pasti lebih ramai pengguna tol berpendapatan rendah akan menggunakan keistimewaan ini dengan sebaiknya,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, Nurulhuda berkata, pemberian rebat perlu ditambah seiring dengan kenaikan kadar tol.

“Jika tol naik tetapi kadar rebat masih sama, tidak banyak penjimatan yang boleh dinikmati pengguna.

"Jadi, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menambah kadar rebat supaya dapat menampung kenaikan tol," katanya.

Beliau turut mencadangkan mekanisme pemberian rebat dikaji semula supaya hanya pengguna berpendapatan rendah dapat menikmatinya.

“Jika diberi mengikut kadar pendapatan, itu lebih adil. Mereka yang berpendapatan rendah lebih memerlukan rebat berbanding pengguna berpendapatan tinggi yang tidak terjejas dengan kenaikan tol.

“Selain itu, saya juga mencadangkan agar rebat dikreditkan terus ke dalam akaun pengguna. Ia lebih mudah memandangkan tidak banyak kaunter menebus rebat disediakan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment