Tuesday, April 16, 2013

PRU13: BN TAMPIL RAMAI CALON BAHARU

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengotakan janji untuk melakukan perubahan dalam senarai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila menampilkan 33 peratus muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 49 peratus Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna, buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum, BN menampilkan sehingga 73 calon baharu bagi kerusi Parlimen dan 247 muka baharu kerusi DUN selepas dikejutkan dengan tsunami politik pada 2008 yang menyaksikan parti itu gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Perubahan paling ketara di negeri-negeri yang menyaksi BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila sebahagian besar muka baharu ditampilkan dengan membawa imej sebagai calon boleh menang, bagi merampas semula kerusi yang terlepas pada 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu menyifatkan barisan calon kali ini adalah terkuat bagi memenuhi kehendak serta jangkaan pengundi yang mahu melihat apakah UMNO dan BN sudah bersedia untuk melakukan perubahan serta pembaharuan.

Beliau yang menamakan senarai tersebut sebagai 'Pasukan Transformasi BN' juga yakin, barisan calon kali ini mampu memenuhi aku janji parti, sekali gus membantu kerajaan BN menjayakan Dasar Transformasi Nasional jika diberi mandat dengan majoriti yang besar pada 5 Mei nanti.

Pada masa yang sama, beliau turut memperincikan kriteria calon Parlimen iaitu sehingga 91 peratus calon memiliki kelulusan sekurang-kurangnya diploma dengan 31 peratus merupakan golongan profesional termasuk dalam kalangan ulama.

Najib yang juga Pengerusi BN menambah, penentuan senarai calon untuk pilihan raya umum kali ini adalah satu proses yang panjang kerana melibatkan banyak sesi perundingan antara parti komponen serta pengerusi-pengerusi BN negeri bagi disesuaikan dengan sentimen serta jangkaan pengundi.

"Umumnya saya yakin ini pasukan BN terkuat mampu kita tampilkan. Saya yakin inilah pasukan yang mampu memenuhi aku janji dan membantu kerajaan menjayakan Dasar Transformasi Nasional. Saya cuba untuk menampilkan sebanyak mana yang mungkin dari segi prinsip untuk melakukan inklusif.

"Saya harap penilaian barisan kita ini dilihat secara menyeluruh. Maknanya bukan sahaja mereka yang bertanding tetapi kemampuan barisan ini dalam konteks menubuhkan kerajaan yang ampuh, kuat dan mampu memenuhi kehendak serta jangkaan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup dengan pengerusi-pengerusi BN negeri serta presiden semua parti komponen sebelum disusuli penyerahan watikah pelantikan senarai calon.

Pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan BN kalah di lima buah negeri, parti itu menampilkan seramai 44 muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 161 calon baharu kerusi DUN.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, bagi mereka yang tidak terpilih termasuk dalam kalangan anggota Kabinet sebelum ini bukan bererti pemimpin berkenaan gagal, bermasalah atau ada kepincangan tetapi keadaan semasa menuntut perubahan dengan laluan harus diberi kepada muka-muka baharu.

Jelasnya, kerajaan BN tetap menghargai apa yang mereka telah lakukan sebelum ini dan berharap, golongan terbabit terus menyokong parti dengan memberi sokongan sama ada ketika musim pilihan raya mahu pun selepas berakhirnya pilihan raya kelak sebagaimana dibuktikan para pemimpin terdahulu.

Ditanya apakah senarai calon yang diputuskan hari ini sudah muktamad dan tidak akan berlaku sebarang perubahan sebelum tarikh penamaan calon pada 20 April nanti, Najib dalam nada tegas berkata, ia adalah senarai calon terakhir dan berharap tidak akan berlaku suasana yang boleh menyebabkannya berubah.

"Dari segi undang-undang dan teknikal memang boleh lakukan perubahan tetapi kita harap inilah senarai calon akhir kita. Kita berusaha menampilkan calon sama ada dalam kalangan pemimpin sedia ada atau daripada golongan muda secara adil dan seimbang," katanya.

Sementara itu, Najib turut mengesahkan terdapat beberapa anggota Kabinet digugurkan daripada senarai calon tetapi enggan memberi butiran terperinci, sebaliknya meminta semua pihak bersabar kerana senarai penuh calon akan diumumkan esok. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment