Showing posts with label bunuh. Show all posts
Showing posts with label bunuh. Show all posts

Tuesday, November 12, 2013

PENGUAT KUASA JAIP DIBUNUH: JAMIL KHIR CADANG BEKAL SENJATA API KEPADA PENGUAT KUASA AGAMA

KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mencadangkan agar anggota penguat kuasa jabatan agama dibekalkan senjata api ketika melakukan operasi.

Beliau juga menyarankan pasukan polis mempertingkat rondaan di kawasan kediaman anggota penguat kuasa terbabit, terutama ketika hari cuti dan hujung minggu.

Ini bagi mempertingkat aspek kawalan keselamatan pegawai berkenaan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada pelajar sekolah di kawasan Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Saranan beliau itu susulan kejadian pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, kelmarin.

Dalam kejadian 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki yang datang berjumpanya di kediaman beliau di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.
 
Media melaporkan Allahyarham terlibat dalam beberapa kes besar termasuk memantau gerakan Syiah di Pahang serta ajaran sesat 'Tuhan Harun'.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata beliau akan memanjangkan cadangan itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas isu lain, beliau berkata setakat ini terdapat lapan kumpulan ajaran sesat dikenal pasti aktif di seluruh negara.

"Tidak ramai pengikut mereka. Kita sentiasa cari. Mereka ini seperti penyakit yang senyap-senyap berkembang," katanya yang tidak mahu mendedahkan nama kumpulan terbabit.

"Kebanyakan ajaran sesat menggunakan pendekatan halus seperti bergerak (menyampaikan ajaran) secara mulut ke mulut, mula dengan perwatakan baik seperti bersongkok, ketayap sebelum mula menggerakkan ajaran sesat.

"Kita sukar hendak pantau. Beban membuktikan mereka terlibat juga sukar dan memerlukan saksi dan penglibatan masyarakat," katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Jamil Khir berkata Skim Bantuan Pakaian Persekolahan membabitkan peruntukan RM3.7 juta itu untuk membantu 17,912 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah rendah agama di Wilayah Persekutuan.


Sumber: Bernama/Sinar Harian

Monday, November 11, 2013

KES PEMBUNUHAN PEGAWAI AMBANK SELESAI

SHAH ALAM - Pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pekerja Ambank, Norazita Abu Talib, 37, dan merompak wang berjumlah kira-kira RM450,000 di USJ Sentral 2 pada 23 Oktober lalu diberkas polis semalam, sekali gus menyelesaikan kes pembunuhan kejam tersebut.

Suspek rompak, bunuh di Ambank ditangkap

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah mengesahkan berhubung tangkapan tersebut.

Beliau berkata, tangkapan suspek utama berusia 37 tahun itu dibuat di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada jam 7 pagi semalam.

"Seorang lelaki dipercayai suspek utama dalam kejadian samun di Subang Jaya pada 23 Oktober 2013 melibatkan kematian seorang kakitangan Ambank ditahan di Kota Tinggi.

"Dengan tertangkapnya suspek utama, kes ini dianggap selesai," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat serta kerjasama orang awam yang banyak membantu polis dalam usaha mengesan suspek utama yang terlibat dalam kejadian.

Sumber: Sinar Harian