Friday, January 11, 2013

HENTI TELAGAH ISU KALIMAH ALLAH

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) meminta orang Melayu supaya berhenti bertelagah berhubung isu kalimah ALLAH kerana bimbang mampu menyemarakkan persengketaan politik di kalangan umat Islam.

Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, persengketaan tercetus daripada permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu tidak memberi faedah kepada orang Melayu kerana isu berkenaan hanya merosakkan pemikiran.

“Berhentilah bertelagah tentang isu kalimah ALLAH kerana kami berpendapat ia hanya akan menyemarakkan lagi api sengketa politik sesama umat Melayu Islam. Apa faedahnya bertelingkah andai dominasi Melayu lebur?

“Tiada faedah sesama sendiri berhempas pulas merosakkan pemikiran orang Melayu. Tidakkah kita sedar bahawa di negara ini bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu? Sedarkah kita bahawa pegangan itulah yang cuba dipecahkan oleh pihak luaran atau dalaman?” katanya, semalam.

Katanya, soal akidah kini merupakan cubaan jahat yang sudah dan sedang dilancarkan oleh pihak tertentu ke atas orang Melayu Islam.

“Mana-mana parti politik Melayu, cukuplah bersaing dalam gelanggang politik dan jangan pula diheret sama isu agama sehingga hilang fokus kepada kerja-kerja membebaskan orang Melayu dari masalah lterhakisnya penghayatan Islam," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu diajak menolak sebarang matlamat menghalalkan cara yang diserapkan ke dalam parti kerana bimbang gerakan menggalakkan kepelbagaian anutan agama seperti dibenarkan segelintir negara berlaku di Malaysia. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment