Thursday, January 10, 2013

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH: PR HARUS AKUR TITAH SULTAN SELANGOR

SHAH ALAM – Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS) menggesa PR supaya menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Pengerusi MGPSS, Datuk Dr Mat Yasir Ikhsan berkata, PR perlu berbuat demikian kerana titah baginda bukan dibuat sesuka hati sebaliknya mendapatkan nasihat dan pandangan Mufti Selangor.

Katanya, tindakan PR membenarkan penggunaan kalimah ALLAH itu dengan syarat seolah-olah tidak menghormati titah Sultan.

“Mereka seharusnya mematuhi titah baginda dan apabila mengeluarkan kenyataan membenarkan penggunaan kalimah ALLAH di kalangan orang bukan Islam ia seolah-olah tidak menghormati Sultan.

“Sedangkan Sultan ketua agama dan baginda pastinya terlebih dahulu merujuk dengan Mufti Selangor untuk mendapatkan pandangan berhubung isu ini sebelum bertitah memutuskan larangan kepada mana-mana bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan PR yang membenarkan kalimah tersebut diguna pakai orang bukan Islam.

Katanya, beliau mendakwa PR cuba bermain politik mengenai isu tersebut bagi menarik sokongan bukan Islam.

Menurutnya, tindakan tersebut sangat membimbangkan kerana ia mempunyai kaitan dengan orang Islam.

“Jika dilihat daripada sudut politik, ini hanya untuk pengaruh politik untuk menarik sokongan bukan Melayu.

“Sedangkan kita mengetahui bahawa kalimah ALLAH itu untuk agama Islam dan ia tidak patut dicemari dengan hal politik,” katanya.

Mat Yasir berkata, pihaknya berasa dukacita dan bimbang dengan perkembangan perkara seperti itu. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment